MPFL 2024 akan ada dua divisyen, LWN sasar minimum lapan pasukan

733

Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada musim hadapan akan menyaksikan ia akan mempunyai dua divisyen iaitu Divisyen 1 dan Divisyen 2.

Pengenalan Divisyen 2 itu diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kali kesembilan bagi penggal 2021-2025 yang berlangsung hari ini.


Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi, kedua-dua divisyen itu akan bermain dengan format yang berbeza.

“Untuk tahun depan hanya 10 pasukan terbaik MPFL 2023 akan beraksi di Divisyen yang mana ia akan dimainkan secara home dan away.

Manakala untuk Divisyen 2 pula baki empat pasukan dari MPFL 2023 akan bermain dengan tambahan daripada pasukan lain yang mana ia akan dimainkan secara sirkit,”

katanya.

Tambahnya lagi, saingan MPFL Divisyen 1 akan bermula dari Februari hingga Ogos 2024, manakala Divisyen 2 pula bermula dari Februari hingga Julai 2024.

Yusoff Mahadi bagaimanapun masih tidak dapat memberikan jumlah sebenar pasukan tambahan yang akan beraksi Divisyen 2 buat masa ini.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM turut mengesahkan bahawa saingan Liga Wanita Nasional (LWN) akan diteruskan pada tahun hadapan dengan sasaran sekurang-kurangnya lapan pasukan.

“Tahun depan kita sasar pasukan yang akan bersaing minimun lapan hingga 10 pasukan. Format pertandingan kita akan perincikan kemudian.”

LWN 2024 akan membuka tirai pada April 2024.