Kelab bola sepak masih bergelut untuk transisi kepada swasta sepenuhnya

267

Dengan penswastaan Liga Malaysia, ia sepatutnya dapat meningkatkan kualiti dan nilai komersial kerana ia menjadi lebih profesional tanpa sebarang campur tangan daripada pihak kerajaan negeri atau politik.

Usaha penswastaan kelab bola sepak (FC) ini mendapat maklum balas yang cukup positif daripada penyokong yang menuntut kelab bola sepak diuruskan secara profesional.


Proses penswastaan kelab oleh Malaysian Football League (MFL) ini dibahagikan kepada empat fasa yang mana ia transisi kepada kelab swasta sepenuhnya.

Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah contoh kelab terbaik apabila mereka 100% swasta dan diuruskan dengan cukup profesional.

Namun disebalik penswastaan kelab, nampaknya ia telah menyebabkan lebih banyak masalah yang timbul apabila kebanyakan kelab masih bergelut dengan transisi ke FC dengan mempunyai masalah yang sama iaitu kewangan.

Tidak keterlaluan hendak mengatakan bahawa musim 2023 adalah yang terburuk setakat ini apabila dilaporkan enam pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji yang agak parah.

Kelantan FC merupakan antara yang paling teruk apabila sejak awal musim lagi pelbagai masalah timbul dan baru-baru ini gergasi dari utara tanah air iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) juga berdepan masalah sama.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik saham terbesar kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang mengakui terdapat tunggakan gaji pemain dan pihak kelab kini sedang berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Dengan kemelut kewangan yang berlaku dalam Liga Malaysia ketika ini memberi gambaran jelas bahawa penswastaan kelab bola sepak sememangnya perlukan masa yang lebih panjang dari jangkaan.

Ini kerana semua sedia maklum bahawa industri bola sepak tanah air tidak membawa keuntungan menyebabkan tidak banyak syarikat mahu menaja dek bimbang tidak akan mendapat pulangan keuntungan.

Kita tidak boleh nafikan bahawa masih ada kelab yang menagih dana dari pihak kerajaan negeri untuk terus ‘bernafas’ dalam saingan liga domestik.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah kewangan yang berlaku dalam pasukan adalah perbelanjaan untuk gaji pemain yang cukup tinggi setiap bulan.

Mungkin ramai yang tahu bahawa gaji pemain-pemain di Liga Malaysia merupakan antara yang tertinggi di Asia sedangkan kualiti Liga Super masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan kualiti liga di negara jiran seperti Thailand.

Apabila kualiti liga tidak tinggi ia bermakna nilai komersial liga juga tidak tinggi sekaligus wang hak penyiaran yang diterima juga sedikit dan tidak mampu menampung perbelanjaan untuk sebulan bagi sesetengah kelab.

Kemelut kewangan yang berlaku juga telah menyebabkan ramai yang meminta agar pihak MFL memperkenalkan gaji siling tetapi realitinya tidak gunanya juga kerana kelab dan pemain mungkin akan membuat dua kontrak.

Sebagai contoh seorang pemain telah bersetuju untuk bermain bersama sebuah kelab dengan gaji RM50,000, tetapi dalam Kontrak 1 yang juga kontrak rasmi untuk dihantar ke MFL hanya memaparkan gaji sebanyak RM10,000 sahaja, manakala baki RM40,000 pada Kontrak 2.

Peminat bola sepak tanah air juga sudah lali dengan masalah gaji yang saban tahun berlaku dan dijangka akan berterusan dari musim ke musim tanpa sebarang solusi.

Oleh itu, diharap MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dapat mencari satu mekanisme untuk mengurangkan masalah gaji yang kerap berlaku.

Mereka adalah golongan profesional yang bijak pandai dan arif dalam selok belok dunia bola sepak, jadi pastinya mereka mampu mencari solusi untuk masalah ini.

Apa pun kita harapkan yang terbaik untuk Liga Malaysia!