Saya cemburu lihat kehadiran penyokong perlawanan melibatkan kelab, boleh cecah hingga 80,000 – Kim Pan-gon

1,848

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata beliau cemburu apabila melihat kapasiti di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sentiasa penuh sehingga 80,000 apabila perlawanan akhir melibatkan kelab.

Katanya, ia berbeza dengan perlawanan menentang Kyrgyzstan malam ini di mana jumlah kehadiran hanya sekitar 17,000 penonton, tetapi beliau tetap menghargai sokongan padu yang diberikan oleh penyokong yang hadir.


“Saya sentiasa ceritakan kepada rakan-rakan saya di Korea Selatan bahawa saya cemburu dengan kehadiran penyokong apabila perlawanan akhir kelab di Malaysia kerana di negara saya susah untuk lihat jumlah penyokong mencecah 80,000.

Tetapi malam ini 17,000 penyokong yang hadir, sudah tentu saya hargai mereka yang hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan, tetapi kita ada kapasiti stadium lebih 80,000,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 4-3 ke atas Kyrgyzstan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebentar tadi.

Sementara itu, Pan-gon berkata bahawa beliau amat berbangga pemain berjaya bangkit daripada ketinggalan pada perlawanan itu.

Katanya, pada awal permainan pemain terlalu yakin dengan diri dan ia menyebabkan mereka ketinggalan sehingga dua gol.

“Saya katakan kepada pemain jangan lupa siapa diri kita, kita harus hormati pada pemain lawan, jangan terlalu yakin diri.

Bagi saya perlawanan ini adalah satu pengajaran yang baik bagi kami, ia adalah satu perlawanan yang sukar.”