Cara kami lepaskan gol melalui set piece adalah gila – Stefan Tarkovic

1,788

Ketua jurulatih skuad bola sepak Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic menyifatkan bahawa cara pasukannya bolos dua gol melalui set piece kepada Malaysia adalah gila dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, walaupun sudah bersedia untuk mengekang gol seperti itu dalam latihan, namun kesilapan daripada pemain menyebabkan mereka melepaskan gol.


“Gila… Kami sudah melakukan persediaan untuk berdepan dengan situasi set piece seperti itu, bolos satu gol seperti ini boleh diterima tetapi dua adalah sesuatu yang tidak baik.

Kami sudah melakukan persediaan yang baik dari segi taktikal, namun kesilapan daripada pemain menyebabkan kita melepaskan gol yang tidak sepatutnya kita lepaskan,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pasukannya tewas 4-3 kepada Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dalam pada itu, beliau melihat terdapat beberapa perkara yang positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu dan mereka harus melupakan segera apa yang berlaku malam ini.

“Kita lihat pemain kita boleh jaringkan tiga gol di tempat lawan, ia sudah tentu perkara yang positif yang boleh diambil.

Selain itu, kita juga lihat tahap kecergasan pemain yang baik sehingga akhir perlawanan, dan mereka berjuang sehingga habis-habisan untuk cuba memenangi perlawanan.”

Beliau mengakui pemain kehilangan organisasi terutama di bahagian tengah, menyebabkan mereka tidak cukup kompak.