Harimau Malaya menghargai usaha wira dan wirawati ‘behind the scene’!
Kudos buat ‘pasukan’ belakang tabir yang memastikan rumput dalam keadaan baik sepanjang perlawanan berlangsung!
Disebalik kemenangan dramatik dan penuh bergaya yang ditampilkan skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, tidak ramai yang mengetahui tentang beberapa petugas Perbadanan Stadium Malaysia amat berdedikasi terhadap tugas mereka.
Rupa-rupanya Encik Nigel dan juga tiga lagi petugas wanita lah antara orang penting yang membanting tulang menjaga keadaan rumput agar ianya baik dan tersedia.
Padang yang dilihat cantik dan rapi itu adalah sebenarnya hasil tangan mereka yang akan membersih, memesin rumput dan memastikan ianya disiram sebelum, sewaktu rehat dan selepas perlawanan.
Ianya sekali gus menyelamatkan pihak pengurusan PSM dan juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya dari dikecam orang luar atas sebab kerosakan padang baharu yang belum sedia untuk digunakan ketika itu.
Mengambil iktibar daripada kejadian rumput jenis Zeon Zoysia tajaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang baru diganti dan berakhiran rosak sewaktu Malaysia menentang India di Pestabola Merdeka Oktober lalu, sudah pasti tindakan Perbadanan Stadium Malaysia kali ini berjaya menaikkan kepercayaan orang ramai kepada pihak pengurusan PSM terutamanya pengerusi mereka, Datuk Hans Issac.
Ternyata kondisi rumput itu juga sempat menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di hantaran Instagram beliau malam tadi yang bersyukur ianya dalam yang baik meskipun hujan lebat membasahi padang hanya beberapa minit sebelum perlawanan bermula.
Sedikit sebanyak keadaan rumput yang dijaga rapi oleh Encik Nigel dan tiga lagi petugas wanita itu telah menyumbang kepada kemenangan 4-3 antara Malaysia dan Republik Kyrgyz.
Merekalah wira tak didendang yang harus kita puji dan hormati atas tanggungjawab penuh menjaga keadaan rumput daripada insiden buruk dahulu berulang kembali.