Kehadiran Richard Chin akan wujudkan persaingan lebih sihat – Ubaidullah

207

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan B-23, Ubaidullah Shamsul memberitahu kehadiran pemain kacukan Richard Chin akan mewujudkan persaingan lebih sihat dalam kalangan pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa kehadiran Richard Chin memberi persaingan yang baik yang mana ia akan mewujudkan persaingan sihat di antara pemain.

Kita juga tahu posisi beliau juga ada Aney (Azam Azmi), jadi saya rasa beliau dapat improve kita dan kita juga dapat improve beliau,”

katanya.

Skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido sedang menjalani kem latihan pusat yang bermula sejak 13 November lalu bagi mempersiapkan pasukan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada April 2024.


Dalam pada itu, Ubaidullah turut memberitahu bahawa beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh Garrido kerana hampir sama dengan taktikal di kelabnya Terengganu FC.

“Tiada beza banyak cuma sedikit sahaja. Mungkin dari segi posisi pemain dan konsep-konsep yang diterapkan lebih kepada ball position, jadi saya rasa tiada masalah untuk kita menyesuaikan diri dengan taktikal ini lebih cepat.”

Beliau pada masa juga berkata Garrido tidak akan membuat perubahan ketara kerana mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk perubahan besar.

Sementara itu, Ubaidullah yang merupakan seorang pemain serba boleh memberitahu beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi, namun jika diberikan pilihan beliau lebih memilih untuk bermain di posisi pertahanan tengah.

“Saya lebih selesa di pertahanan tengah kerana itu adalah posisi utama saya tapi sebagai seorang pemain kita tidak boleh bermain di satu posisi sahaja kerana kita perlu variasikan lagi untuk dapatkan peluang bermain terutamanya di skuad senior.”