Siapa dia Ange Samuel Kouame?

1,295

Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung kini sememangnya suatu pentas sengit buat mana-mana sahaja pasukan yang disenaraikan. 

Melihat kepada perlawanan Chinese Taipei menentang Malaysia esok malam, nampaknya bintang Harimau Malaya kita tidak boleh pandang sebelah mata terhadap pasukan pihak lawan. 


Skuad kebangsaan harus berwaspada dengan pemain naturalisasi kedua dibawa masuk pasukan Chinese Taipei dua bulan lalu, iaitu Ange Samuel Kouame. 

Pemain yang berasal dari Ivory Coast itu merupakan antara pemain termahal buat pasukan Chinese Taipei dan juga pemegang anugerah Pemain Paling Berharga (MVP) musim lalu dengan jaringan terbanyak liga 20 gol. 

Sudah lima tahun beliau menetap di Taiwan dan mengahwini seorang wanita dari sana. 

Memegang dua kewarganegaraan, pemain tengah berusia 27 tahun itu kini juga lebih dikenali sebagai An Yien. 

Di sana, Ange beraksi bersama pasukan Tainan City FC dan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan pasukan di tangga teratas Liga Perdana Bola Sepak Taiwan. 

Sejak ‘debut’ beliau bersama Chinese Taipei tiga bulan lalu, Ange sudah berjaya menghadiahkan dua jaringan gol dalam empat perlawanan. 

Disifatkan sebagai ‘nadi’ buat pasukan itu, beliau pernah memenangi Anugerah Kasut Emas pada tahun 2020 dan terpilih sebagai pemain terbaik tahun lalu. 

Ketua jurulatih pasukan Chinese Taipei, Gary White menyatakan Ange adalah pemain yang amat berbaloi yang dibeli dan pastinya akan menjadi tunjang utama buat skuad tersebut. 

Hanya selepas kemunculan pertama beliau bersama pasukan kebangsaan dalam menentang pasukan Filipina di suatu perlawanan persahabatan September lalu, jurulatih penjaga gol Konstantinos Paganias juga mengakui bahawa ‘standard’ permainan Ange adalah setanding bagi perlawanan bola sepak Eropah. 

Di dalam tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 sahaja, Ange sudah menyumbang satu gol yang berkemungkinan akan bertambah lagi melihatkan sepakan padu, prestasi serta kemahiran beliau di atas padang yang cukup lincah. 

Di liga antarabangsa pula, Ange sudah menjaringkan tiga gol bersama dua bantuan gol (assist) di dalam hanya tiga perlawanan kejohanan AFC.

Sebelum ini, pasukan Chinese Taipei pernah memiliki seorang pemain naturalisasi dari Turki bernama Onur Dogan, atau Chu En-Le, yang sempat tampil bersama pasukan Formosa Celts, Red Lions, Tatung Taipei dan kini tidak lagi muncul dengan pasukan kebangsaan mereka. 

Diharapkan pasukan Malaysia akan terus cekal dan mempunyai kubu pertahanan yang kuat demi melawan pemain hebat sebegini dan mengekalkan kejuaraan di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.