Syabas FAM! Jangan biarkan pengadil tidak selamat dan mudah jadi sasaran

334

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam beberapa insiden yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Sebanyak 10 hukuman dikenakan terhadap kelab dan juga pegawai pasukan yang terlibat, yang diputuskan dalam satu dalam mesyuarat.


Johor Darul Ta’zim menerima dua denda, manakala Selangor FC serta pemain serta pegawainya menerima lapan denda akibat kesalahan-kesalahan berlainan.

Hukuman yang mencuri perhatian ramai pastinya yang dikenakan terhadap bekas pemain Selangor, Yazan Al-Arab akibat insiden mengasari dan menyepak pengadil ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia September lalu.

Beliau telah didenda dengan hukuman penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak mengubah statusnya ketika ini yang sudah pun dilepaskan oleh Selangor dan sejak itu tidak lagi terlibat dengan aktiviti bola sepak di Malaysia.

Tetapi hukuman-hukuman yang diputuskan oleh FAM ini menunjukkan bahawa badan itu tiada toleransi terhadap keganasan dalam bola sepak.

Ia boleh dijadikan pengajaran kepada kelab, pegawai serta pemain di Liga Malaysia supaya sentiasa menghormati peraturan, tidak mengamalkan keganasan sama ada dalam kalangan penyokong serta pegawai perlawanan yang bertugas.

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak insiden keganasan terhadap pengadil yang berlaku dalam saingan liga amatur, menunjukkan bahawa tugas sebagai seorang pengadil di negara ini tidak selamat.

Sementara itu, dengan keputusan yang dibuat oleh FAM ini, mungkin ada sedikit rasa marah dalam diri Yazan dan akan menghangatkan lagi pertemuan Malaysia dan Jordan dalam saingan Piala Asia 2023 nanti.

Beliau mungkin mahu membuktikan sesuatu dan ‘membalas dendam’ terhadap Malaysia disebabkan hukuman yang diterima itu.