Kalau dengan Chinese Taipei kita tak boleh menang, kita tak layak ke pusingan seterusnya – Kim Pan-gon

863

Ketua jurulatih skuad kebangsaan negara, Kim Pan-gon menegaskan bahawa mereka wajib mencatatkan kemenangan ke atas Chinese Taipei pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 esok.

Katanya, ia adalah penting bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan itu, sekaligus menjadi 18 pasukan terbaik di Asia.


“Jika kita tidak mampu kalahkan Chinese Taipei, bagi saya kita tak layak untuk ke pusingan seterusnya.

Sudah tentu ini adalah satu tekanan yang besar, ia misi wajib menang kerana jika tidak situasi akan menjadi sukar buat kita, tetapi ia adalah satu tekanan yang positif,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan menentang Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei, jam 7 malam esok.

Pan-gon menganggap bahawa pemain Malaysia mempunyai semangat dan kemahuan yang lebih tinggi berbanding pihak lawan, justeru wajib membawa pulang tiga mata.

“Situasi kedua-dua pasukan adalah berbeza, kita mempunyai sasaran untuk menjadi 18 pasukan terbaik dalam pusingan kelayakan dan layak ke pusingan seterusnya.

Saya tak rasa Chinese taipei ada sasaran untuk layak ke pusingan seterusnya, jadi saya percaya pemain-pemain Malaysia mempunyai motivasi dan kemahuan yang lebih tinggi.”

Pan-gon mengakui bahawa berdasarkan sejarah, perlawanan esok akan menjadi satu cabaran yang besar buat pasukannya kerana Malaysia mempunyai rekod yang buruk menentang Chinese Taipei di gelanggang lawan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa skuad kebangsaan kini berwajah baharu, dengan pemain-pemain berbeza serta dirinya sebagai pengendali.

Beliau berkata, mereka tetap akan turun dalam perlawanan itu dengan penuh hormat terhadap lawan dan bermain dengan rendah diri.