Enam mata lagi dan peluang kita cerah untuk ke pusingan seterusnya – Kim Pan-gon

2,003

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mensasarkan enam lagi mata dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi memastikan Malaysia berada dalam kedudukan selamat untuk ke pusingan seterusnya.

Katanya, selepas meraih enam mata melalui kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei, beliau mahu Malaysia terus konsisten bagi mengumpul 12 mata yang dirasakan cukup untuk melakkkan diri.


“Sasaran kita jika boleh mahu dapatkan 12 mata, ia adalah jumlah yang selamat dan saya rasa kita mampu mendapatkan lagi enam mata.

Tetapi perlawanan menentang Kyrgyzstan di tempat lawan nanti adalah sukar dan menentang Chinese Taipei di gelanggang sendiri juga tidak mudah, kita harus membuat persediaan rapi,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan ke atas Chinese Taipei 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei sebentar tadi.

Menurut Pan-gon, Malaysia layak menang perlawanan itu kerana semangat serta keinginan yang ditunjukkan oleh pemain negara lebih tinggi berbanding lawan.

“Kita sudah jangkakan perlawanan yang sukar seperti hari ini, kita tahu pemain Chinese Taipei sangat padu, berdisiplin dan mempunyai fizikal yang baik.

Tetapi semangat yang ditunjukkan oleh pemain kita lebih tinggi berbanding lawan jadi kita sememangnya layak menang, kita sudah tempuhi satu cabaran yang sukar dan selangkah lagi ke pusingan seterusnya.”

Malaysia kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, dan akan turun pada perlawanan seterusnya menentang Oman di gelanggang lawan pada Mac 2024.