Minat terhadap bola sepak tempatan semakin pudar dalam kalangan Gen Z?

190

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila ramai yang merungut mengenai harga tiket perlawanan pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jumlah kehadiran sedikit mengecewakan apabila kita gagal untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40,000 penyokong di dalam stadium.


Antara punca yang menyumbang kepada kurangnya penyokong ketika itu adalah harga tiket RM40 dikatakan terlalu mahal selain berlangsung pada hari bekerja menyebabkan ramai yang tidak dapat hadir.

Kedua-dua alasan itu cukup ‘klise’ terutamanya jika mengatakan harga tiket mahal kerana ini adalah perlawanan antarabangsa dan bukannya perlawanan bola sepak domestik.

Sikap double standard dalam kalangan penyokong juga tidak dapat dielak apabila mereka sanggup membeli tiket perlawanan akhir saingan domestik berharga sehingga ratusan ringgit tetapi apabila melibatkan skuad Harimau Malaya dikatakan mahal pula.

Kesanggupan penyokong turun ke stadium hanya melibatkan perlawanan separuh akhir dan akhir sahaja kerana dalam perlawanan liga atau peringkat awal stadium boleh dikatakan kosong dengan jumlah kehadiran yang cukup menyedihkan.

Penyokong juga kini bersikap selektif yang mana mereka hanya akan turun ke stadium apabila pasukan kesayangan mereka bertemu dengan pasukan besar sahaja dan perkara ini secara tidak langsung memberi impak kepada kelab itu sendiri.

Ini kerana kutipan jualan tiket yang sedikit membuatkan kelab tidak dapat menjana pendapatan, ditambah pula dengan jualan jersi dan barangan eksklusif kelab juga sendu dek lambakan barangan tiruan yang dijual dalam talian dan juga di sekitar perkarangan stadium.

Apakah cara yang harus dilakukan oleh pengelola liga Malaysian Football League (MFL) dan kelab-kelab bola sepak untuk menarik orang ramai untuk kembali turun ke stadium seperti dahulu kala.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan minat terhadap bola sepak tanah air dalam kalangan golongan generasi kini atau lebih dikenali sebagai Gen Z kian pudar.

Penulis tidak bercakap menerusi cakap-cakap orang sebaliknya ia adalah berdasarkan pemerhatian sendiri selain pengalaman bersama golongan Gen Z ini sendiri yang mana majoritinya tidak berminat dengan bola sepak tanah air.

Biarpun kini semakin banyak gelanggang futsal dan padang bola sepak sintetik wujud dek sambutan daripada orang ramai baik lelaki dan wanita, tetapi ia tidak dapat diterjemahkan kepada sokongan kepada saingan liga domestik.

Kebanyakan mereka ini merupakan penyokong liga Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mana mereka ini boleh dikatakan agak peka dengan perkembangan bola sepak di peringkat antarabangsa tetapi tidak mengambil tahu langsung mengenai perkembangan bola sepak tempatan.

Perkataan yang sering dilontarkan apabila ditanya mengapa tidak mengikuti perkembangan liga domestik adalah ‘bosan’! Kenapa bosan? Kerana ia didominasi oleh satu pasukan sahaja selain sering terpalit dengan kontroversi terutamanya masalah gaji menyebabkan mereka tidak berminat lagi untuk menyokong bola sepak tanah air.

Contoh terbaik adalah Kelantan kerana satu ketika dahulu pasukan dari Pantai Timur itu mempunyai penyokong yang cukup fanatik ketika zaman kegemilangan mereka.

Penyokong The Red Warrior sememangnya cukup dikenali dengan sikap hooligans satu ketika dahulu yang mana mereka pernah membakar kereta polis, bergaduh dengan penyokong lawan dan banyak lagi sehingga ada yang menggelar Stadium Muhammad IV adalah ‘nereka dunia pada pemain dan penyokong lawan’.

Bagaimanapun selepas pasukan itu terpalit dengan masalah tunggakan gaji yang parah selain pelbagai lagi masalah dalaman pasukan itu menyebabkan ia hampir dibubarkan sebelum diselamatkan oleh seorang ahli perniagaan.

Ketika penyokong teruja dengan ahli perniagaan itu menyelamatkan pasukan, timbul pula masalah sama yang mana menyebabkan pasukan itu yang kini beraksi di Liga Super menjadi pasukan belasahan dek ramai pemain utama meninggalkan kelab itu.

Secara tidak langsung membuatkan penyokong sudah tidak bersemangat lagi untuk turun memberikan sokongan sekiranya pasukan kesayangan seperti ‘menunggu masa untuk runtuh’.

Perkara ini menjadi antara faktor utama golongan Gen Z kini sudah tidak berminat lagi dengan bola sepak tanah air kerana mainnya tidak hebat mana, sebaliknya hanya hebat dengan pelbagai masalah sahaja. Tiada keseronokan lagi dalam menyaksikan saingan liga domestik.

Dengan zaman semakin moden, teknologi canggih termasuk kewujudan permainan dalam talian menyebabkan majoriti Gen Z kini lebih memilih untuk menceburi dunia e-sukan.

Jika sebelum ini ramai remaja melepak di kedai mamak untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sambil berborak-borak, namun kini mereka melepak tetapi masing-masing mengadap telefon pintar bermain permainan video.

Trend ini tampaknya akan terus berleluasa sekiranya tiada inisiatif dilakukan untuk menarik semula orang ramai terutamanya Gen Z untuk menyokong bola sepak domestik.

Oleh itu, kita harapkan kelab-kelab bola sepak tempatan dalam melakukan inisiatif atau promosi untuk menarik orang ramai untuk menyokong liga domestik untuk kita jadikan Liga Malaysia antara terbaik di Asia Tenggara.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen