‘Sentuhan ajaib’ Kim Pan-gon jadi rebutan banyak kelab bola sepak Asia Tenggara

2,233

Tidak dapat kita nafikan kehadiran jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon sejak Januari tahun lalu sememangnya memberikan impak yang besar terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.

Beliau yang mengambil alih tugas jurulatih Tan Cheng Hoe ketika itu ternyata menunjukkan sifat dedikasi yang amat tinggi dalam membimbing anak buahnya demi mengharumkan nama negara di peringkat dunia.


Bukan setakat prestasi ramai bintang bola sepak kita telah semakin membaik, pasukan kita telah berjaya melonjakkan kedudukan mata FIFA yang banyak hasil daripada kejayaan besar kita di perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Teguh di kedudukan ketiga diantara pasukan-pasukan bola sepak Asia Tenggara, sudah tentu setiap gerak-geri pasukan kita diperhatikan ramai saingan yang menginginkan penambahbaikan yang sama.

Kekuatan utama yang kita miliki pastinya daripada teknik kejurulatihan Kim Pan-gon yang mempunyai strategi hebat dalam mengendalikan sebuah pasukan dalam memberikan aksi terbaik di atas padang serta tidak henti menyuntik motivasi kepada para pemain. 

Sewaktu sidang media perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Malaysia menentang Kyrgyzstan dua minggu lalu, Pan-gon menyatakan hasrat beliau untuk melihat pasukan anak didiknya tergolong diantara 18 pasukan terbaik di Asia secara keseluruhannya.  

Pastinya, banyak pihak diantara pasukan negara-negara ini yang juga ingin ‘memikat hati’ Pan-gon untuk kemajuan pasukan mereka, lebih-lebih lagi dalam menembus senarai ke Piala Dunia FIFA.

Para pemain dari pasukan-pasukan tersebut juga tentunya mahu mempelajari serta mendalami corak permainan Pan-gon.

Meskipun jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menjadi rebutan ramai pihak pengurusan pasukan bola sepak yang lain di Asia Tenggara, kita patut bersyukur kerana kita masih menerima khidmat beliau. 

Kontrak jurulatih itu yang dijangkakan tamat pada hujung bulan Disember ini juga telah disambung sehingga tahun 2025, seperti yang dikhabarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dua minggu lalu.

Beliau merupakan nadi kepada skuad kebangsaan dan kita masih memerlukan bimbingan beliau dalam sukan bola sepak.

Kita perlu sentiasa menghargai jasa dan juga kesudian beliau untuk terus mengemudi pasukan kebangsaan sehingga ke hari ini. 

Diharapkan dengan setiap tunjuk ajar yang diberikan oleh Kim Pan-gon buat skuad Harimau Malaya di masa akan datang, pastinya akan membantu Malaysia untuk terus maju di dalam arena sukan, terutamanya dalam sukan bola sepak.