Saya yakin musim depan kita akan mempunyai pasukan yang lebih baik – Aidil Sharin

89

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya sepanjang tempoh perlawanan yang menyaksikan mereka terikat 1-1 dengan PDRM FC dalam perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2023, namun terpaksa akur apabila tewas 4-1 secara agregat.

Menurut Aidil Sharin, beliau tidak dapat menyalahkan pemain-pemainnya kerana mereka sudah memberikan yang terbaik tetapi pasukan lawan lebih ampuh.


“Pertama saya ingin ucapkan tahniah kepada PDRM kerana menjadi juara. Saya rasa untuk kami, kami turun untuk cuba mendapatkan gol awal tapi saya tidak boleh salahkan pemain kerana mereka bekerja cukup keras namun pertahanan lawan cukup kental.

Tapi kami berjaya jaringkan gol pertama dan kita berjaya cipta banyak peluang. Jadi ‘moral of the story’ jika kita punya peluang dan tidak menjaringkan gol, kita tidak akan menang perlawanan terutamanya di final.

Jadi secara keseluruhan saya tidak boleh salahkan sesiapa kerana bagi saya bagus untuk mereka beraksi di final yang mana kita akan tahu apa yang perlu diperbaiki untuk musim depan,”

katanya.

Terdahulu Kuching City mencipta sejarah apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran selepas menundukkan gergasi Kedah Darul Aman FC dan Kelantan United FC untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun dalam saingan Liga Super, mereka kini berada di kedudukan kedua tercorot.

Dalam pada itu, pengendali dari Singapura itu mengakui ketiadaan beberapa pemain dek kecederaan menjadi salah satu faktor sukar untuk beliau mengatur strategi terbaik.

“Kami tidak mempunyai beberapa pemain akibat kecederaan, jadi oleh sebab itu kami tidak mempunyai pemain untuk digantikan sekaligus tidak dapat mengubah permainan.”

Sementara itu, Aidil Sharin juga gembira melihat peningkatan yang dipamerkan oleh pasukannya dari semasa ke semasa dan kini beliau dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terhadap kesemua pemain untuk persiapan musim depan.

“Saya dapat lihat dan akan membuat penilaian pemain mana yang akan dikekalkan dan pemain mana yang akan dibawa masuk untuk beberapa posisi utama.

Jadi saya yakin musim hadapan kita akan mempunyai pasukan yang lebih baik.”