PDRM FC sudah capai sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan – Yunus Alif

107

Ketua jurulatih PDRM FC, Dato’ Ahmad Yunus Mohd Alif berpuas hati dengan pencapaian pasukannya pada musim ini apabila berjaya mencapai sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan sejak awal musim lalu.

Menurut Yunus Alif, mereka tidak hanya berjaya mendapatkan 31 mata dalam saingan Liga Super musim ini, tetapi juga berjaya menjulang Piala Cabaran 2023 selepas menewaskan Kuching City FC 4-3 secara agregat malam tadi.


“Sebenarnya kita sudah sampat matlamat kita iaitu sasaran daripada pihak pengurusan iaitu sekurang-kurangnya 31 mata tapi kita sudah mengutip lebih dari itu.

Bagaimanapun kalau ada peluang kita akan ada dua atau tiga pemain baru yang perlu kita beri pendedahan. Ini bagus untuk mereka,”

Mengulas lanjut mengenai perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Stadium Kuching, Sarawak, beliau mengakui pemain-pemainnya tertekan pada separuh masa pertama apabila mereka ketinggalan 1-0.

“Pemain-pemain tertekan di separuh masa pertama kerana kita merancangkan untuk kekalkan skor tapi ini adalah bola sepak apabila ada kelekaan di bahagian bawah kita dihukum dengan jaringan.

Ketika rehat separuh masa, saya beritahu kepada semua pemain supaya bermain dengan corak permainan biasa sendiri kerana ketika itu kami masih mendahului dengan kelebihan dua gol.

Jadi apabila mereka bermain dengan corak permainan sendiri, pemain dapat merancang pergerakan dan Alhamdulillah mereka ikut dan akhirnya mendapat gol penyamaan pada separuh masa kedua sekaligus sedikit sebanyak melemahkan pasukan lawan.”

Terdahulu pada perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad The Cops memperlihatkan kehebatan mereka apabila berjaya menang 3-0.