Saya bukan yang terbaik tapi saya sentiasa cuba buat yang terbaik – James Okwuosa

91

Pemain import PDRM FC, James Okwuosa tidak merasakan dirinya sebagai seorang pemain terbaik sebaliknya seorang pemain yang akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik apabila diturunkan.

Okwuosa menjadi antara watak terpenting pasukan PDRM apabila beliau berjaya membantu pasukannya merangkul kejuaraan Piala Cabaran 2023 selepas menewaskan Kuching City FC 4-1 secara agregat malam tadi.


“Saya tidak rasa saya adalah yang terbaik tapi saya sentiasa cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Apa yang penting bagi saya adalah untuk membantu pasukan untuk tidak bolos. Pujian juga harus diberikan kepada kesemua barisan pertahanan yang beraksi dengan baik sekali,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut mengakui berasa cukup selesa bersama The Cops kerana mempunyai pengurusan, barisan kejurulatihan dan penyokong yang memberi sokongan penuh.

Dalam pada itu, Okwuosa turut mendedahkan bahawa beliau ketika ini dalam perbincangan dengan pihak pengurusan samada kekal atau tidak untuk musim hadapan.

“Saya sangat suka bersama pasukan ini dan kami masih berbincang kerana saya tidak mempunyai perancangan untuk berhijrah ke pasukan lain jadi kita tunggu sahaja hasil perbincangan nanti.”

Sementara itu, beliau turut memuji Malaysian Football League (MFL) apabila mengembalikan kejohanan Piala Cabaran pada musim ini.

Beliau bagaimanapun sedikit kecewa dengan jumlah kehadiran penyokong yang sedikit.

“Saya rasa Piala Cabaran sangat bagus dan peluang untuk pasukan-pasukan memperlihatkan kehebatan masing-masing.

Tapi saya harap penyokong dapat turun menyokong kerana ia adalah perlawanan akhir home dan away sekaligus memberi peluang kepada penyokong untuk menyaksikan perlawanan yang cukup menarik untuk merebut kejuaraan.”