Berapa kali asyik nak kena tegur dengan TMJ pasal isu padang?

131

Isu padang kembali menjadi perhatian baru-baru ini selepas keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang teruk ketika perlawanan akhir Piala Malaysia Jumaat lalu.

Semalam, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim yang sangat cantik pada perlawanan AFC Champions League (ACL) antara JDT dan BG Pathum United walaupun hujan turun.


Baginda membangkitkan persoalan kepada pihak Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa adakah pasukannya akan bermain di padang yang lecak ibarat sawah padi memandangkan saingan liga akan berjalan ketika musim hujan pada musim baharu nanti.

Baginda juga turut menekankan kepentingan supaya setiap pasukan mempunyai padang permainan dan sistem perparitan yang bagus.

Apa yang dibangkitkan oleh baginda itu sebenarnya adalah perkara asas yang sepatutnya tidak menjadi isu yang berulang.

Bukan sahaja dapat mengganggu permainan apabila padang lecak, ia juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain.

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari, dua pemain JDT iaitu Corbin Ong dan juga Shane Lowry juga turut mengalami kecederaan apabila beraksi di kawasan padang yang rosak di SNBJ.

Musim ini pun terdapat perlawanan Liga Super yang terpaksa ditangguhkan akibat padang ditakungi air.

Musim depan, perkara ini mungkin akan menjadi lebih kerap sekiranya keadaan padang di kebanyakan stadium pasukan Liga Super masih dalam keadaan sama.