Tak menang piala tapi sentiasa jadi perhatian & dapat publisiti percuma

80

Awal tahun 2024 ini sedikit suram buat peminat bola sepak tempatan berikutan siangan Liga Super Malaysia hanya akan membuka tirainya pada bulan Mei nanti.

Disebalik kebosanan yang melanda peminat, namun ia tetap meriah dengan pengumuman pemain-pemain baru pasukan yang akan bertanding dengan pasukan seperti Selangor FC, Terengganu FC dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus jadi tumpuan ramai.


Tidak ketinggalan, pasukan Perak FC juga turut rancak mengumumkan baru pemain baru mereka yang mana rata-ratanya pemain muda dan mereka menjadi pasukan pertama yang melancarkan jersi home untuk musim 2024/25.

Namun pasukan yang paling menjadi tumpuan pada musim ini sudah semestinya Selangor FC yang mana pada musim ini mereka bakal beraksi dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL 2).

Pengurusan King of Malaya cukup proaktif dalam membuat persiapan apabila sudah memulakan kem latihan sejak 5 Februari lalu bagi memastikan setiap pemain mencapai tahap kecergasan yang baik sebelum mengharungi aksi pra musim di luar negara.

Untuk pemain pula skuad Merah Kuning akan mengekalkan 26 pemain musim lalu dan membawa naik empat pemain muda dari skuad B-23 termasuk mengumumkan kehadiran lima pemain baru.

Lima pemain tersebut adalah Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Azim Al Amin dan pemain warisan sensasi Nooa Laine.

Menariknya, ramai yang cukup teruja untuk melihat prestasi Selangor pada musim ini selepas mereka mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada musim lalu dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Bola sepak dan perseteruan pastinya tidak dapat dipisahkan dan itulah yang berlaku ketika ini diantara Selangor dan JDT yang mana kedua-dua pasukan ini merupakan pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga Super untuk musim ini.

JDT yang merupakan juara bertahan sebanyak 10 kali berturut-turut menyedari bakal berdepan ‘ancaman’ besar daripada pasukan dari Lembah Klang itu pada musim ini.

‘Perang’ menjadi lebih panas selepas Selangor mengumumkan kehadiran pemain Malaysia-Finland iaitu Nooa Laine sebagai pemain baru yang mana ia telah mencetuskan kontroversi apabila pemilik agensi pemain bola sepak InsaProject Global Group, Kiko Insa berkongsi tangkap layar perbualan bersama ejen Nooa yang pada awalnya menawarkan diri untuk beraksi bersama Harimau Selatan.

Bagaimanapun perang bidaan yang berlaku menyaksikan Selangor berjaya mendapatkan pemain itu.

Perkara itu turut mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim yang memuat naik di Instagram Story-ny dengan berkata JDT sentiasa menjadi pilihan pertama pemain yang ingin bermain di Malaysia dan turut ‘tag’ Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.

Tapi seperti biasa, tiada sebarang respon daripada RMS mahupun pihak pengurusan pasukan, sebaliknya mereka terus fokus untuk mempersiapkan pasukan.

Terbaru, JDT sekali lagi menjadi perhatian selepas mereka memuat naik video pengenalan pemain terbaru mereka iaitu pemain naturalisasi Romel Morales.

Video tersebut dikatakan turut diselitkan sindiran yang mana terdapat babak seseorang sedang memasak lada benggala berwarna merah dan kuning dan kemudiannya dibuang ke tong sampah.

Biarpun dibuat secara kiasan, namun peminat bola sepak tanah air sudah sedia maklum dengan apa yang ingin disampaikan.

Suka atau tidak, perkara seperti ini sedikit sebanyak memeriahkan liga tempatan yang suram dek masalah gaji yang semakin parah saban tahun.

Pernah dengar atau tahu mana-mana liga yang mana ada pasukan yang mempunyai segala-galanya masih ‘prihatin’ dengan pasukan lawan? Pastinya tiada kan!

Oleh sebab itu Liga Super Malaysia ini cukup meriah dan unik dengan kreativiti.