KDA FC bakal buat kejutan untuk saingan Liga Super musim ini?

442

Ketika ini banyak pasukan kini sedang rancak membuat persiapan menjelang saingan Liga Super musim 2024/25 yang bakal membuka tirainya pada bulan Mei nanti.

Pasukan gergasi seperti Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan Sri Pahang FC juga rancak dengan mengumumkan kehadiran pemain baru termasuk Penang FC dan Negeri Sembilan FC.


Tapi pasukan yang menduduki tempat  keempat musim lalu iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) pula nampaknya sunyi sepi tanpa sebarang perkembangan terbaru mengenai persiapan pasukan untuk mengharungi musim baru.

Ia susulan Sang Kenari dihimpit masalah kewangan yang sehingga kini tiada sebarang perkembangan terkini, malah baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan ada pemain yang terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan di kedai makan dan juga di kantin sekolah demi kelangsungan hidup.

Pada awal Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Kamal Idris telah meletak jawatan dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Shahrul Samsudin telah dilantik sebagai Pemangku CEO.

Apa yang berlaku kepada skuad Hijau Kuning ketika ini nyata telah mencetuskan kebimbangan peminat mengenai nasib pasukan kesayangan mereka terutamanya selepas ramai tonggak utama dilaporkan bakal ‘angkat kaki’ dek masalah tunggakan gaji.

Peminat kini seperti dibiar terkontang-kanting tanpa sebarang berita dan ini membuatkan mereka berasa cukup gusar dengan apa yang akan berlaku. Adakah pasukan kesayangan bakal jadi pasukan ‘lauk’ musim ini? Atau sebaliknya.

Harimau Malaya turut cuba menghubungi Shahrul Samsudin bagi mendapatkan perkembangan terbaru, tetapi tidak berjaya apabila beliau menyatakan buat masa ini sebarang kenyataan atau perkembangan pasukan hanya akan diwar-warkan menerusi media rasmi KDA sahaja.

@aizat896 #kedahdarulaman #hijaukuning #kda #malaysia #fypシ #fyp ♬ bunyi asal – Malaysian_football2

Apa akan jadi pada projek ketua jurulatih Nafuzi Zain? Ini kerana musim lalu beliau menyertai KDA dengan misi untuk mengembalikan zaman kegemilangan dan Nafuzi berjaya berbuat demikian apabila membawa pasukan baru menamatkan saingan liga di tempat keempat.

Malah lebih menakjubkan lagi, beliau berjaya menjadikan KDA sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri satu mata dan menjaringkan tiga gol menentang pasukan juara bertahan JDT.

Kehadiran Nafuzi di Darul Aman telah memberi sinar harapan baru buat peminat tapi adakah musim ini pasukan kesayangan mampu beri cabaran seperti musim lalu atau lebih baik lagi.

Peminat pastinya menaruh harapan dan kepercayaan kepada pihak pengurusan untuk membuat yang terbaik bagi memastikan pasukan terus kekal menjadi pencabar utama kejuaraan walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

Pasukan KDA perlu pamer prestasi terbaik mereka untuk musim ini bagi memberi penghormatan buat lagenda ‘double treble’, Allahyarham Azraai Khor Abdullah yang meninggal dunia baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi bekas lagenda bola sepak Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar yang kini merupakan Yang Berhormat (YB) di DUN Gurun turut dilihat aktif dengan bola sepak di negeri itu dan pastinya peminat mengharapkan beliau dapat membantu bekas pasukannya itu.

Mungkinkah pengurusan pasukan mengambil pendekatan ‘diam diam ubi berisi’? Mungkin ada kejutan yang akan dilakukan KDA? Sama-sama kita tunggu dan lihat.