Khatul Anuar tekad pamer aksi terbaik untuk pikat Kim Pan-gon

484

Penjaga gol sensasi Khatul Anuar memberitahu sudah menandatangani kontrak bersama sebuah kelab baru pada musim ini selepas tidak lagi bersama Penang FC.

Khatul bagaimanapun tidak dapat mendedahkan lagi kelab barunya itu kerana perlu tunggu pengumuman rasmi daripada pihak kelab.


“InsyaAllah untuk musim ini saya akan bermain dengan kelab baru musim ini dan sudah pun menandatangani kontrak bersama pasukan itu.

Pasukan akan memulakan latihan pada bulan hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut enggan mengulas lanjut mengenai ciapannya di laman X yang seperti menyuarakan ketidak puasan hatinya dengan pengurusan sebuah pasukan baru selepas meninggalkan kelab lamanya.

“Sebenarnya saya dah lupakan apa yang berlaku. Saya tak marah tapi kalau mereka jujur dari awal saya boleh terima tapi bila di saat-saat akhir nak cakap sebaliknya buat saya rasa kurang senang, tapi bagi saya ini adalah asam garam bola sepak jadi saya sudah lupakan perkara itu.”

Dalam pada itu, penjaga gol berusia 26 tahun itu mengakui perjalanannya masih jauh untuk cuba menembusi pasukan kebangsaan.

Ini kerana menurutnya, pasukan kebangsaan ketika ini mempunyai ramai penjaga gol yang berkualiti, namun beliau akan tetap terus berikan aksi yang terbaik dengan harapan dapat menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti.

“Semua pemain memasang impian untuk bermain untuk negara dan untuk saya perjalanan saya masih lagi jauh kerana negara mempunyai ramai penjaga gol hebat ketika ini.

Apa yang penting saya perlu berikan persembahan terbaik saya sepanjang saingan liga musim ini untuk memikat hati ketua jurulatih Kim Pan-gon.”

Sementara itu, selain mengejar impian untuk mewakili negara Khatul juga meletak sasaran untuk cuba mendapatkan minit permainan sebanyak yang mungkin bersama kelab barunya serta mahu bantu pasukan berada dalam kelompok terbaik di Liga Super.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen