PSM perlu pastikan SNBJ berada dalam keadaan terbaik biarpun FAM ada ‘Plan B’

189

Dari zaman rumput lembu sehinggalah zaman rumput Zeon Zoysia, masalah kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terus menjadi masalah utama apabila menjelang perlawanan melibatkan aksi Harimau Malaya.

Selepas insiden padang koyak pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023, peminat kini kembali menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kondisi padang selepas SNBJ baru sahaja menganjurkan konsert penyanyi antarabangsa Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.


Ini kerana skuad negara akan turun menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Home of Harimau Malaya pada 26 Mac ini.

Oleh itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mempunyai tempoh kurang sebulan untuk memastikan padang akan berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan itu nanti supaya insiden memalukan negara tidak berulang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut bimbang dengan insiden hitam kembali berulang telah mempunyai ‘Plan B’ sekiranya padang SNBJ didapati tidak berada dalam keadaan memuaskan untuk aksi skuad negara.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa pihaknya sudah mempunyai stadium alternatif iaitu samada Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor atau pun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu.

Kedua-dua stadium ini pernah menjadi venue skuad negara dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sebelum ini.

Hamidin dalam kenyataannya kepada pihak media semalam telah berkata pihak FAM akan melakukan pemeriksaan keadaan padang tiga minggu lebih awal bagi memastikan padang sesuai untuk permainan bola sepak.

Biarpun FAM sudah mempunyai ‘Plan B’, namun ia tidak bermakna PSM boleh mengambil mudah atau remeh mengenai perkara ini SNBJ akan sentiasa menjadi pilihan utama untuk skuad negara beraksi.

PSM dibawah pimpinan Dato’ Hans Isaac perlu mengotakan janji mereka yang berkata padang SNBJ akan menjadi padang berkelas dunia setanding dengan padang Piala Dunia.

Amat penting untuk skuad kendalian Kim Pan-gon bermain di SNBJ kerana aura dan sambutanya cukup berbeza apabila bermain di venue lain seperti yang berlaku sebelum ini ketika aksi di SSI dan SSMZA.

Malaysia kini berada pada prestasi terbaik apabila berada di puncak Kumpulan D dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua perlawanan menentang Oman di Muscat dan SNBJ akan menjadi penentu samada mereka mampu mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.