Dari kelab gergasi bakal main di pentas Asia ke kelab ‘bottom 3’ Thailand? Liga Malaysia penuh dengan drama

501

Bola sepak di Malaysia tidak penuh suram dan sentiasa penuh dengan drama biarpun Liga Super bukanlah liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Semalam dunia bola sepak tanah air kecoh apabila ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe secara sah telah meletak jawatan biarpun masih mempunyai kontrak bersama kelab itu.


Selangor dalam satu kenyataan rasmi telah mengesahkan perkara itu dengan berkata pihak pengurusan dan Cheng Hoe telah mencapai persetujuan bersama untuk tamatkan kontrak secara serta merta.

Susulan peletakan jawatan Cheng Hoe, pihak kelab telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau yang dilaporkan bernilai jutaan ringgit.

Difahamkan kelab yang berada di tangga tercorot Thai League 1 iaitu Police Tero FC berminat untuk mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu.

Perkara ini sedikit sebanyak telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang meramalkan jurulatih berusia 55 tahun itu akan ke kelab negara jiran sebagai ‘transit’ sebelum pulang ke tanah air.

Ini kerana perkara ini bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini juga berlaku kepada beberapa pemain yang ‘transit’ ke Police Tero sebelum pulang ke tanah air.

Spekulasi itu timbul kerana ramai yang tertanya-tanya mengapa Cheng Hoe memilih untuk mengendali sebuah kelab bermasalah berbanding kelab yang bakal beraksi di pentas AFC Champions League 2 (ACL 2) musim ini.

Secara dasarnya tampak seperti tidak logik tapi inilah dunia bola, apa sahaja boleh berlaku biarpun ia seperti tidak masuk akal.

Dengan pasukan naib juara Liga Super musim lalu menjadi antara pasukan terawal rancak membuat persiapan menjelang saingan liga musim ini termasuk menandatangani beberapa pemain berprofil tinggi, pemergian pengendali yang berjaya membawa mereka ke pentas Asia sedikit sebanyak merencatkan sedikit perancangan mereka.

Bagaimanapun pengurusan kelab pastinya mempunyai jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan pasukan musim ini bukan sahaja mampu beraksi cemerlang di ACL 2 tetapi juga mampu menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Super.

Apa yang berlaku kepada Selangor sejak kebelakangan ini seakan-akan seperti filem aksi Hindustan yang mana si hero akan kalah terlebih dahulu sebelum bangkit menentang ‘kejahatan’ untuk menang.

Nidzam Jamil akan sekali ini diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih interim sementara pihak kelab mencari pengganti tepat untuk mengemudi pasukan.

Biarpun tiada sebarang pengesahan, namun nama ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC iaitu Nafuzi Zain menjadi sebutan kerana beliau disifatkan sebagai individu yang cukup tepat untuk mengemudi King of Malaya.

Nafuzi masih mempunyai baki kontrak bersama Sang Kenari tetapi dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan itu termasuk ramai tonggak utama angkat kaki termasuk khabar angin mereka mungkin diturunkan ke Liga M3, pastinya pengendali itu akan ikut jejak langkah bekas pemainnya.

Dengan pampasan yang diterima Selangor, pastinya mereka tiada masalah untuk tebus kontrak Nafuzi jika mereka mahu.

Jika ia jadi kenyataan, pastinya ramai yang tidak sabar untuk menanti ‘reunion’ di antara Nafuzi dan bekas anak didiknya iaitu Faisal Halim.

Selain Nafuzi, beberapa nama jurulatih lain turut menjadi sebutan peminat termasuk bekas pengendali pasukan kebangsaan Indonesia, Vietnam dan Tajikistan iaitu Shin Tae-yong, Park Hang-seo dan Peter Segrt.

Ketiga-tiga pengendali ini mempunyai pengalaman yang cukup luas di peringkat antarabangsa termasuk pengalaman di pentas Piala Asia.

Dengan Selangor yang bakal beraksi di pentas ACL 2 musim ini, kehadiran antara salah seorang pengendali ini mampu bawa pasukan ke tahap lebih tinggi.

Apa pun sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru daripada Selangor dalam masa terdekat ini.