AFL terbuka untuk terima KDA FC & KL City FC beraksi di Liga M3

326

Khabar angin mengatakan dua pasukan bermasalah iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) dan KL City FC bakal disingkir dari saingan Liga Super dek masalah kewangan kini sedang hangat diperkatakan oleh peminat.

Biarpun perkara itu masih belum disahkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL), namun pihak Amateur Football League (AFL) tiada masalah untuk menerima kehadiran bekas pasukan gergasi itu di Liga M3.


Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan kedua-dua pasukan itu sekiranya mereka mahu sertai liga semi-profesional kelelolan mereka.

“Situasi yang berlaku kepada KDA dan KL City sama seperti Kelantan FC. Bagi pihak AFL kami akan terima permohonan daripada kedua-dua pasukan itu jika ada dan perkara itu akan dipertimbangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

MFL berkemungkinan besar akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat ini.

Ini kerana menurut Raimi, AFL akan mengadakan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah mereka pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, KL City baru-baru ini telah membuat satu sidang media di mana Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad berkata mereka yakin dapat menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM2 juta.

Ini kerana mereka sedang menunggu peruntukan dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat.

Sebuah lagi pasukan iaitu Kedah pula masih lagi bersikap ‘kunci mulut’ apabila sehingga kini tiada kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

Malah cubaan untuk mendapatkan perkembangan semasa daripada CEO interim, Shahrul Shamsudin juga selepas beliau berkata sebarang kenyataan hanya akan diwar-warkan menerusi media rasmi pasukan sahaja.

Apa pun, sama-sama kita tunggu dan nanti nasib kedua-dua pasukan itu dalam masa terdekat ini.