Kita akan maklum mengenai kedudukan KDA FC selepas mereka serahkan maklumat tambahan 5 Mac ini – Stuart Ramalingam

267

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberitahu pihaknya akan memaklumkan mengenai kedudukan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) selepas mendapat maklumat tambahan daripada pihak kelab pada 5 Mac ini.

Menurut Stuart, pihaknya tidak akan terburu-buru untuk membuat keputusan kerana pihak yang akan rugi adalah pemain-pemain.


“Kami akan maklum mengenai kedudukan KDA selepas mereka serahkan maklumat tambahan 5 Mac ini dan maklumat yang diberi kalau memuaskan ahli lembaga pengarah dan  jawatankuasa FIB (First Instance Body).

Macam mana pun kita perlu melihat bukti yang kelab itu akan mendapat dana terlebih dahulu kerana jika kita menutup satu pasukan, kita menutup cara untuk selesaikan masalah ini.

Pihak paling rugi pastinya pemain yang tidak dapat gaji beberapa bulan dan waktu kita lihat bayaran boleh dapat, kita tutup. Kita perlu praktikal dalam situasi ini dan bukannya semata-mata untuk kita ambil keputusan,”

katanya.

Stuart berkata demikian selepas pihak KDA telah mengeluarkan kenyataan media yang mengatakan mereka sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana yang akan diterima pada bulan April ini.

KDA dalam kenyataan sama turut berkata pihak mereka ketika ini sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai pasukan.

Beliau berharap Sang Kenari dapat menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin dan memuaskan FIB sebelum sebarang keputusan dapat diambil.

Dalam pada itu, Stuart bagaimanapun tidak bimbang dengan sebuah lagi pasukan yang mengalami masalah sama iaitu KL City FC kerana baginya ia tidak serius seperti pasukan KDA.

“Kita sudah mendapat maklumat daripada pihak kelab yang memaklumkan mereka akan menyelesaikan masalah dalam masa terdekat ini, jadi perkara akan dibawa ke mesyuarat FIB untuk pertimbangan. Pada masa ini tidak seserius seperti KDA.”

Sementara itu, Stuart turut memberitahu pihaknya akan membuat temuduga dengan empat pasukan daripada Liga M3 yang membuat permohonan untuk beraksi di Liga Super musim ini.

“Sebagaimana saya laporkan sebelum ini, proses temuduga untuk empat pasukan yang buat permohonan untuk naik ke Liga Super dengan hanya satu lesen sahaja.

Kita telah anjakkan temuduga ke minggu depan disebabkan waktu jawatankuasa untuk berjumpa. Jadi hari Isnin ini temuduga akan dijalankan untuk keempat-empat pasukan.”