Bertrand Rhodict diserap masuk RTG manakala Pandelela dan Dhabitah digugurkan

71

Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi satu-satunya wakil negara dalam sukan itu di Sukan Olimpik 2024 Paris telah dimasukkan dalam program Road To Gold (RTG) selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG yang berlangsung petang tadi.

Perkara itu diumumkan oleh Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang turut berkata jawatankuasa turut memutuskan untuk menggugurkan dua atlet terjun wanita negara iaitu Datuk Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program itu selepas mereka gagal melayakkan diri ke Olimpik.


“Jawatankuasa RTG telah putuskan untuk mengeluarkan dua penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah daripada program RTG. Mereka sudah buat yang terbaik untuk banggakan negara tapi mereka tidak berjaya layak ke Olimpik menerusi Kejohanan Akuatik Dunia baru-baru ini di Doha, Qatar yang merupakan acara kelayakan terakhir.

Bagaimanapun kedua-dua mereka akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium.

Kita juga memasukkan Bertrand Rhodict dalam RTG abgi membantunya melakukan persiapan menghadapi temasya itu,”

katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik (MOM), Tan Sri Norza Zakaria turut mengumumkan Program Fast-Track.

“MSN (Majlis Sukan Negara) telah memulakan Program Fast-Track dengan misi untuk mewujudkan atlet muda dan berbakat berusia antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk menang pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028.

Ketika ini dua sukan sudah tersenarai dalam program ini iaitu terjun dan skuasy.”

Stuart turut memberitahu bahawa Bertrand Rhodict juga akan diserap dalam Program Fast-Track sebaik sahaja Olimpik tamat.

Antara kriteria yang ditetapkan untuk Program Fast-Track adalah atlet adalah 2024 : Top 20 dalam Kedudukan Dunia; 2026 : Top 12 dalam Kedudukan Dunia; 2027 : Top 10 dalam Kedudukan Dunia; 2028 : Layak ke Sukan Olimpik LA 2028 dan pencabar pingat.