Pemain KDA FC harap dapat berita gembira sebelum sambut Ramadan

286

Umpama telur di hujung tanduk! Itulah situasi yang sedang dihadapi oleh pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) selepas mereka menghadapi masalah kewangan yang agak parah dengan pemain dan pegawai pasukan tidak menerima gaji mereka.

KDA kini juga berada dalam keadaan getir apabila Lesen Kebangsaan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Super juga akan tergugat sekiranya mereka tidak dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji dalam masa terdekat ini.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberitahu bahawa pasukan Sang Kenari mempunyai tempoh sehingga 5 Mac ini untuk mengemukakan maklumat tambahan berkaitan dana untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

Berdasarkan kenyataan rasmi daripada pihak kelab baru-baru ini sedikit sebanyak memberi sedikit sinar harapan buat pemain-pemain yang bergelut ketika ini untuk menyara kehidupan.

Menurut sumber, ada pemain yang tidak mendapat gaji lebih dari tiga bulan dan ada juga pemain yang tidak mendapat gaji lebih enam bulan.

Sumber itu juga berkata ada pemain berada dalam keadaan cukup tersepit kerana tidak dapat mencari pasukan baru dek masih mempunyai kontrak bersama pasukan.

Dengan kenyataan rasmi KDA baru-baru ini pemain berharap akan ada sinar harapan buat mereka kerana mereka sangat berharap skuad Hijau Kuning tidak diturunkan ke Liga M3.

Tinggal seminggu lebih sahaja sebelum tibanya bulan Ramadan, pemain berharap ada berita gembira buat mereka nanti.