Kuching City FC antara pasukan yang mampu cabar kedudukan Top 5 Liga Super

403

Bermula dari Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) pada tahun 2015, Kuching City FC terus menjadi sebutan di negeri Sarawak apabila mereka berjaya menjuarai LBR pada tahun pertama penyertaan mereka.

Kuching City kemudian bermain dalam Liga FAM selama dua musim sebelum naik ke Liga M3 pada tahun 2019 di mana mereka berjaya menjadi naib juara sekaligus berjaya naik ke liga profesional iaitu Liga Perdana pada 2020.


Biarpun masih setahun jagung dalam dunia bola sepak profesional, namun mereka kekal konsisten berada dalam kedudukan Top 3 liga selama tiga musim sebelum mereka akhirnya berjaya naik ke liga tertinggi di Malaysia iaitu Liga Super musim 2023.

Sebagai pasukan yang baru naik ke liga elit negara, mereka menjadi ‘lubuk’ tiga mata oleh pasukan-pasukan lain apabila mereka akur menamatkan saingan liga di tangga kedua tercorot hasil dua kemenangan, enam seri dan 18 kekalahan.

Prestasi sepanjang musim 2023 bukan sesuatu yang sangat mengecewakan jika mengambil kira status mereka sebagai pasukan kerdil yang naik ke Liga Super.

Bagaimanapun untuk musim baru 2024/25 yang akan membuka tirainya pada bulan Mei nanti, pihak pengurusan Kuching City telah melakukan persiapan lebih awal lagi iaitu sebelum saingan liga musim lalu tamat lagi apabila membawa masuk ketua jurulatih baharu iaitu Aidil Sharin Sahak.

Aidil bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tempatan kerana beliau merupakan antara nama besar di Liga Super apabila beliau pernah mengendalikan pasukan gergasi Kedah Darul Aman FC dari 2019-2022 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu menjulang Piala FA pada tahun 2019.

Dikenali sebagai ketua jurulatih ‘projek’, Aidil berjaya membentuk skuad yang mantap ketika bersama Sang Kenari dengan ramai pemain-pemain muda diberikan peluang dan bersinar ketika dibawah kendalian beliau.

Aidil yang dibawa masuk pada penghujung musim lalu telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya membawa pasukan itu mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2023 namun terpaksa akur apabila tewas 4-1 di tangan PDRM FC.

Pendekatan tersebut telah berjaya menambat hati pihak pengurusan Kuching City yang memberikan kepercayaan kepada Aidil untuk membina pasukan semula mengikut acuan pengendali dari Singapura itu.

Dengan trak rekod yang sudah terbukti membuahkan hasil, pastinya pihak pengurusan akan memberi ruang dan masa kepada Aidil untuk membentuk skuad yang lebih ampuh pada musim ini.

Untuk saingan liga musim ini beliau akan membawa masuk beberapa bekas pemainnya di KDA dan antaranya adalah Rodney Celvin, Shahril Sa’ari, Zharmie dan beberapa lagi.

Selain itu, beliau turut sudah membawa masuk beberapa pemain muda seperti Azizi, Uzair, Abg Azri, Amirul Iqmal dan Muhammad Hariz Mansor.

Manakala untuk pemain import pula, Aidil menandatangani Tchetche Kipre dan James Okwuosa untuk memperkuatkan bahagian serangan.

Jurulatih penjaga gol yang merupakan lagenda negara, Khairul Azman Mohamed turut berhijrah dari KDA ke Kuching City untuk musim ini.

Dijangka lebih ramai pemain baru akan diumumkan dalam masa terdekat ini untuk melengkapkan skuad.

Berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil untuk melihat pasukan Kuching City mampu memberikan cabaran hebat kepada pasukan lain di Liga Super musim ini.

Malah tidak keterlaluan juga jika hendak mengatakan mereka mampu mencabar kedudukan Top 5.