PSM sedang buat persiapan untuk tukar rumput Zeon Zoysia ke hibrid tahun ini

190

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan sekali lagi menjalani proses penukaran rumput pada tahun ini biarpun baru sahaja menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia.

Penukaran rumput itu akan dibuat berikutan masalah padang cepat rosak, oleh itu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi telah berkenan untuk mengurniakan rumput jenis hibrid pula untuk kegunaan pasukan kebangsaan Harimau Malaya.


Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil berkata proses penukaran rumput itu dijangka akan dibuat pada tahun ini juga.

“Urusan padang ni untuk PSM ini sudah berlarutan sejak tahun 1998 iaitu lebih 25 tahun. Kita telah cuba banyak jenis rumput yang mana kita pernah cuba Bermuda, Cow grass dan sekarang kita guna Zeon Zoysia yang dikurniakan oleh TMJ.

Dan baru-baru ini juga telah diumumkan yang rumput hibrid dari Stadium Larkin akan dipindahkan ke sini (SNBJ), jadi bagi pihak PSM kami dalam proses untuk mempersiapkan padang untuk penukaran dari Zeon Zoysia ke hibrid.

Dari segi tempoh masa kami masih dalam proses menentukan berapa tempoh untuk kami perlu untuk pindahkan rumput dari Stadium Larkin. Insyaallah kita akan buat tahun ini,”

katanya.

Tambahnya lagi, rumput Zeon Zoysia di SNBJ ketika ini akan dipindahkan ke padang di Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam pada itu, Iliyas turut berkata dengan jadual yang padat ketika ini pihaknya akan cuba mencari masa yang sesuai untuk melakukan kerja-kerja penukaran rumput.

Jelasnya lagi, PSM akan memastikan proses penukaran rumput tidak akan menjejaskan pasukan pasukan sekaligus mereka dapat bermain di SNBJ dan tidak pernah bermain di venue lain.

“Rumput yang baru ini rumput hibrid yang mana lima peratus adalah rumput tiruan, manakala 95 peratus lagi rumput semulajadi, jadi ini sesuatu yang baru dan cabaran baru dan kami akan cuba uruskan supaya kita dapat gunakan untuk bola sepak dan program-program lain.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen