AFL masih belum dapat sahkan jumlah sebenar pemain import beraksi di Liga A1 musim ini

37

Selepas mengharungi dua musim yang agak lancar, Amateur Football League (AFL) telah mengorak langkah apabila menjenamakan semula saingan Liga M3 kepada Liga A1 untuk musim 2024.

Tidak hanya penjenamaan liga, AFL juga memperkenalkan kuota pemain import di mana pasukan-pasukan yang berkemampuan boleh menggunakan khidmat pemain import mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan AFL.


Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, buat masa ini pihaknya hanya akan dapat mengesahkan mengenai pasukan yang menggunakan khidmat pemain import selepas tamat tempoh pendaftaran pasukan.

“Kalau ikut pengamatan kita dari segi pendaftaran, jujur saya katakan kita tidak dapat sahkan lagi berapa banyak pasukan tapi melalui perkongsian di sosial media kita nampak beberapa pasukan mengadakan trial atau sudah ada pemain-pemain import yang bersama pasukan.

Tapi disebabkan pendaftaran tutup esok (hari ini), jadi lepas pukul 12 esok baru kita tahu,”

katanya.

Raimi berkata demikian selepas tamat Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Amateur Football League bersama Kelme dan Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 di Wisma FAM.

Dalam pada itu, Raimi juga memberitahu bahawa pihaknya menerima banyak permohonan untuk tempoh lanjutan pendaftaran pemain berikutan ia melibatkan proses yang agak panjang untuk pemain import.

“Apabila melibatkan pemain import ia akan melibatkan ITC dan sebagainya jadi mereka juga memohon untuk lanjutan kerana ini kali pertama mereka guna khidmat pemain import, jadi banyak dokumen yang perlu mereka sediakan. Yang itu kita belum buat keputusan lagi.”

Sementara itu, antara syarat yang dikenakan kepada pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import adalah adalah pemain, gaji pemain tidak melebihi RM10,000 dan pasukan perlu sediakan deposit enam bulan gaji pemain import kepada AFL.