Pelantikan Madame Pang sebagai Presiden FAT bakal beri sinar baru buat bola sepak Thailand

24

Pada tahun lalu peminat bola sepak Thailand teruja apabila Nualphan Lamsan atau lebih dikenali sebagai Madame Pang dipilih menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) yang baharu.

Pemilihan Madame Pang disambut baik oleh banyak pihak termasuk pemilik-pemilik kelab yang menganggap beliau adalah individu yang cukup tepat untuk mengendalikan badan induk bola sepak di negara itu.


Beliau yang merupakan pemilik kelab bola sepak Port FC dan juga pengurus pasukan kebangsaan Thailand dilihat mampu membawa sinar harapan baru buat bola sepak di negara itu.

“Ketika pemilihan Madame Pang telah menang besar berikutan ramai pemilik kelab memilih beliau yang mana ia memberi gambaran bahawa banyak perkara baik akan datang daripada pemilihan beliau.

Kebanyakan pasukan kita boleh rasa terjamin yang mereka akan dapat wang tepat pada waktu di mana ia penting buat semua kelab profesional dalam melabur pada fasiliti dan pembangunan bola sepak,”

ujar bekas wartawan Fox Sports dari Thailand, Wiput Thirapanish.

Tambahnya lagi, dengan latar belakang Madame Pang sebagai seorang ahli perniagaan gergasi di sana menjadikan beliau mempunyai pengaruh besar sekaligus dapat membawa masuk lebih banyak penajaan.

Wiput Thirapanish juga berkata FAT sebelum ini berdepan masalah kewangan dari penajaan yang mana ia telah memberi impak besar kepada kelab-kelab yang bertanding di mana ia turut menjejaskan kualiti liga.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar Madame Pang dapat mewujudkan ekosistem bola sepak yang lestari serta memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi.

“Saya harap beliau akan membelanjakan wang untuk mewujudkan ekosistem bola sepak yang lestari dan saya secara peribadi mahu beliau turut beri tumpuan kepada pembangunan akar umbi di mana pemain-pemain ini mempunyai akses kepada fasiliti, pemakanan yang bagus untuk mereka menjadi pemain yang bagus.”