Faisal Halim semakin baik, harap polis ‘update’ dari semasa ke semasa – Shahril Mokhtar

61

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberikan perkhabaran gembira berhubung keadaan terkini pemain sensasi Faisal Halim yang dikatakan menunjukkan perkembangan cukup positif dalam proses pemulihannya.

Menurut Shahril, Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey sudah pun dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa dan kini sudah boleh makan seperti biasa, malah pemain itu mula mengidam nasi kandar.


“Hari ini adalah hari yang lebih baik berbanding kali terakhir saya ‘update’ Jumaat lepas yang mana Alhamdulillah hari ini Faisal telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa tapi pelawat masih tidak dibenarkan kerana keadaan masih sensatif namun beliau sudah stabil.

Pakar masih memantau dan pembedahan seterusnya akan berlaku minggu depan sama ada Isnin atau Selasa selepas prosedur ‘skin allograft’ dilakukan dan dia tunjukkan tindak balas yang baik.

Prosedur minggu hadapan adalah langkah keempat dengan kulit dari bahagian lain akan ditampal pada tempat yang cedera iaitu di bahagian tangan kirinya yang paling teruk terjejas,”

katanya kepada media.

Shahril juga berkata pihak kelab enggan berkongsi mengenai perkembangan bola sepak kepada Faisal kerana mahu beliau fokus sepenuhnya kepada proses pemulihannya.

Dalam pada itu, Shahril pada masa sama berharap pihak polis yang menjalankan siasatan dapat memaklumkan perkembangan terkini siasatan dari semasa ke semasa.

“Saya difahamkan siasatan masih dijalankan cuma harapan saya buatlah betul-betul siasatan ini. Saya tak boleh nak komen lanjut kerana saya harap IGP (Ketua Polis Negara) pun kalau boleh ‘update’ dari semasa ke semasa sebab Faisal adalah wira negara.

Jadi harapan saya sekiranya ada perkembangan terbaru yang tidak begitu sensitif, harap pihak berwajib dapat ‘update’ kami di luar sini.”