Di Thailand tiada keganasan terhadap pemain bola sepak – Wiput Thirapanish

48

Insiden pemain kebangsaan Malaysia, Faisal Halim disimbah asid mendapat liputan media antarabangsa yang rata-rata terkejut dan tidak menyangka insiden seperti itu boleh berlaku kepada seorang pemain bola sepak profesional.

Bekas wartawan Fox Sports dari Thailand, Wiput Thirapanish antara yang terkejut mendengar mengenai berita itu dan berkata di negaranya tidak pernah berlaku keganasan seperti itu.


“Ya ia satu situasi yang buruk dan saya sangat terkejut dengan perkara ini. Di Thailand tiada keganasan seperti itu.

Tidak dapat dinafikan juga ada ‘rivalry’ di sini dan ada pergaduhan tapi tidak pernah kepada pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, isu seperti ini sepatutnya tidak perlu berlaku kerana bola sepak hanyalah sukan, jadi apa yang berlaku dalam permainan biar habis dalam perlawanan sahaja.

Dalam pada itu, Wiput Thirapanish bagaimanapun berkata bola sepak di negaranya juga tidak terlepas dari berbuat silap apabila FAT pernah dikenakan denda susulan peminat membakar suar dalam stadium sebelum ini.

Jelasnya lagi, bola sepak adalah sukan yang menyatupadukan dan memberikan kegembiraan kepada peminat yang hadir ke stadium.

“Adat pertandingan ada kalah dan ada yang menang jadi tidak perlu melakukan perkara yang boleh mencederakan kerana bola sepak ini hanya permainan.”