Prestasi pasukan sebab masalah dalam Police Tero, bukan Tan Cheng Hoe – Wiput Thirapanish

36

Dunia bola sepak Malaysia sebelum ini kecoh apabila jurulatih berpengalaman Tan Cheng Hoe yang ketika itu sedang mempersiapkan pasukan Selangor FC untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2024/25 telah meletak jawatan kerana mahu berhijrah ke Thailand.

Cheng Hoe dilapor telah mendapat tawaran untuk mengendalikan kelab Police Tero yang beraksi di Thai League 1.


Bekas wartawan Fox Sports dari Thailand, Wiput Thirapanish mengakui Cheng Hoe merupakan seorang jurulatih yang cukup bagus dan persembahannya sepanjang bersama kelab itu baik walaupun terpaksa berdepan dengan situasi kelab ketika ini.

“Beliau seorang jurulatih yang bagus. Persembahannya di Police Tero ketika ini bagus berbanding dengan apa yang beliau ada ketika ini.

Ya sudah jelas bahawa Cheng Hoe seorang jurulatih yang bagus, jadi saya harap beliau akan berjaya di destinasinya selepas ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, prestasi hambar pasukan itu bukan berpunca daripada jurulatih sebaliknya berpunca dari masalah dalam kelab itu sendiri.

“Kelab yang bermasalah, bukan jurulatih. Kelab berdepan masalah kewangan dan pemain-pemain pun ambil keputusan untuk keluar dari kelab jadi pasukan tidak dapat beri yang terbaik.”

Terdahulu perpindahan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya ke kelab di negara jiran telah mencetuskan pelbagai spekulasi kerana beliau yang sedang mempersiapkan pasukan gergasi Selangor untuk beraksi di pentas Asia iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2) ambil keputusan untuk mengendalikan pasukan bermasalah.

Berdasarkan keputusan semasa, Police Tero kini berada di tangga tercorot Thai League 1 dengan 25 mata selepas berjaya menang enam perlawanan, seri tujuh dan kalah sebanyak 15 kali.