Penggunaan pemain warisan untuk jangka masa panjang tak akan beri kejayaan – Witthaya Laohakul

114

Negara-negara di rantau Asia Tenggara ketika ini semakin rancak menggunakan pemain warisan (berdarah kacukan) dan pemain naturalisasi untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.

Ketua jurulatih Chonburi FC, Witthaya Laohakul tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang buruk kerana ia boleh memberikan kejayaan kepada sesebuah pasukan tetapi beliau berkata ia adalah satu ‘penyelesaian’ untuk jangka masa pendek.


“Ya untuk jangka masa pendek boleh tapi untuk jangka masa panjang saya rasa ia tidak akan berjaya. Oleh sebab itu kita perlu beri tumpuan kepada Pembangunan akar umbi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Witthaya Laohakul berkata demikian bagi mengulas mengenai peningkatan drastik yang ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan Indonesia yang beraksi dengan baik dalam kejohanan Piala Asia 2023 dan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) turut berkata negaranya juga mempunyai ramai pemain warisan tetapi pemain-pemain ini gagal untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di negara itu.

“Apabila kita bercakap mengenai pemain warisan, kita perlu ‘scout’ pemain dari usia muda dan bawa pemain itu ke sini kerana seperti yang saya katakan bukan mudah kerana perbezaan budaya.

Anda juga perlu tahu samada pemain itu punya pengetahuan dalam bola sepak. Saya sudah lihat ramai pemain berdarah kacukan datang ke Thailand yang mana kebanyakan daripada mereka berdepan masalah terutamanya perbezaan budaya, sukar menyesuaikan diri dengan bola sepak di Thailand.”

Tambahnya lagi, tidak kira samada pemain itu berdarah kacukan dari mana kerana apa yang penting pemain itu perlu tunjukkan kualiti mereka apabila bermain bersama pasukan dan bukannya tunjukkan kemampuan diri sahaja kerana bola sepak adalah sukan berpasukan.

“Bagi saya amat penting untuk seseorang pemain itu ada kualiti tapi apa yang lebih penting adalah bagaimana pemain itu guna kualitinya untuk bantu pasukan lebih penting, jadi sebab itu ramai pemain berdarah kacukan gagal menyerlah di sini.”