Liga Vietnam adalah liga terbaik di ASEAN, Thailand di tangga keempat – Witthaya Laohakul

37

Ketua jurulatih Chonburi FC, Witthaya Laohakul mengakui bahawa liga Vietnam iaitu V. League 1 merupakan liga terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini berbanding Thai League 1 yang dikatakan berada di kedudukan keempat.

“Jika diteliti dengan baik liga terbaik di ASEAN ketika ini adalah Vietnam kerana mereka mempunyai ramai yang berpengetahuan luas dalam bola sepak yang bekerja dalam persatuan bola sepak dan juga kelab-kelab di sana.

Liga kedua terbaik bagi saya adalah Malaysia, ketiga adalah Indonesia manakala Thailand pula ditempat keempat kerana kita mempunyai masalah terutamanya saingan liga pembangunan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Witthaya Laohakul berharap selepas ini setiap kelab tidak hanya memberi tumpuan kepada skuad utama sahaja, tetapi juga kepada skuad pembangunan.


Dalam pada itu, beliau berkata tidak hanya liga Vietnam yang terbaik tetapi pasukan kebangsaan mereka juga adalah yang terbaik ketika ini.

“Bagi saya pasukan kebangsaan Vietnam masih nombor satu dan pasukan junior juga cemerlang dalam kejohanan baru-baru ini.”

Sementara itu, Witthaya Laohakul juga berkata Thailand perlu lupakan seketika cita-cita untuk melangkah ke Piala Dunia sebaliknya beri fokus pada infrastruktur.

“Jika anda tidak mempunyai infrastruktur dan tidak melabur dalam pembangunan akar umbi anda tidak akan berjaya untuk masa depan. Mungkin anda boleh berjaya untuk tempoh yang singkat, tapi anda tidak boleh konsisten seperti Jepun atau Korea Selatan yang mana mereka sentiasa berjaya layak ke kejohanan-kejohanan besar.”