Perlis United FC mampu jadi pencabar utama Liga M3

548

Selepas dilanda kontroversi pada tahun 2019 dan tidak dapat bersaing untuk beberapa musim, Perlis United FC bakal kembali ke kancah bola sepak dengan menyertai Liga M3 musim ini.

Walaupun terpaksa bermain di Liga M3 semula, namun pasukan yang diberi jolokan Singa Utara itu tekad untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu pada satu ketika dahulu sekaligus melayakkan pasukan ke Liga Perdana pada musim hadapan.


Sumber foto: Perlis United FC Facebook

Bagaimanapun Perlis dijangka akan berdepan saigan hebat dari pasukan-pasukan lain yang turut membuat persiapan rapi selain ada pasukan yang dibarisi bekas pemain dari Liga Super.

Untuk musim ini, Perlis telah memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk lima pemain berpengalaman seperti Azmizi Azmi (PKNS), Azizi Mat Rose (JDT), Sadam Hashim (Felda United), Muhammad Afiq Azmi (Perak FC) dan Hairol Fazreen Abu Hassan (PJ City FC).

Dengan gabungan pemain berpengalaman dan pemain baru, Perlis dijangka mampu menjadi pencabar utama Liga M3.

Perlis juga kini sedang rancak mengadakan perlawanan pra-musim untuk mencari keserasian pemain sebelum liga bermula pada 12 Februari ini.

Sumber foto: Perlis United FC Facebook

Skuad Singa Utara akan bertemu dengan pasukan Real Chukai FC pada perlawanan pertama di Kemaman, Terengganu.

Liga M3 musim 2022 tampak meriah dengan penyertaan sebanyak 20 buah pasukan seperti BRM FC, Langkawi City FC, Bukit Tambun FC, Respect FC, Kijang Rangers, Kinabalu Jaguar FC dan beberapa lagi.

Tidak dapat dinafikan ketika ini semakin ramai peminat bola sepak mula memberi tumpuan kepada pasukan Liga M3 kerana pengurusan setiap pasukan di liga tersebut sangat profesional sekaligus memberi tamparan hebat buat pasukan di Liga Super dan Liga Perdana.

Mampukah Perlis mencipta kejutan dengan menjuarai Liga M3 sekaligus kembali ke Liga Perdana? Sama-sama kita tunggu.