Chonburi FC terpaksa jual pemain utama dek masalah kewangan

101

Chonburi FC merupakan antara salah sebuah pasukan yang agak besar dalam saingan Thai League 1, namun untuk musim 2023/24 menjadi musim yang cukup malang buat mereka apabila kini berada di zon penyingkiran selepas 28 perlawanan.

Setiausaha Agung Chonburi FC, Thitigorn Artwarin berkata prestasi hambar yang dipamerkan oleh Chonburi musim ini berpunca daripada masalah kewangan yang berlaku sehingga pihak kelab terpaksa menjual pemain-pemain utama mereka untuk teruskan kelangsungan kelab.


“Kita berdepan dengan banyak masalah dalam dan ini merupakan pengalaman baru buat semua kerana kita tidak pernah berdepan dengan situasi seperti ini di mana kami bergelut untuk cuba terus ‘survive’ dalam liga.

Masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan kami terpaksa menjual pemain-pemain utama ketika pusingan kedua liga dan ini merupakan sesuatu yang tidak baik buat kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, berbaki dua perlawanan liga Thitigorn Artwarin berkata mereka akan tetap buat yang terbaik untuk cuba memastikan mereka dapat terus kekal dalam saingan liga untuk musim 2024/25.

“Bagi saya, sekiranya kita cuma ada satu peratus peluang sekalipun kita perlu cuba dan buat yang terbaik untuk baki dua perlawanan.

Jika kita berjaya menang dua perlawanan itu, mungkin ia akan jadi satu keajaiban buat kami kekal di Thai League 1.”

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya mereka gagal dan tersingkir ke Thai League 2, mereka tidak akan berputus asa sebaliknya akan buat perancangan rapi untuk bangkit semula dengan satu sasaran iaitu untuk kembali ke liga utama.