KDA FC sebuah kelab diswastakan sepenuhnya yang tiada sokongan daripada pelbagai pihak – Mohd Daud Bakar

372

Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengakui perlukan sokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan misi mereka untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu.

Daud Bakar berkata demikian selepas aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyaksikan pasukannya tewas 1-0 kepada Selangor FC.


“Kita hari ini merupakan sesebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya yang mana tiada sokongan  daripada pelbagai pihak.

Malam ini saya berada di stadium rasa macam keseorangan melihat kepada rakan-rakan di Selangor  yang mempunyai jentera yang cukup hebat untuk memberikan sokongan pada pasukan mereka.

Jadi untuk Kedah saya rasa bahawa keseorangan dan rasa perlukan sokongan pelbagai pihak untuk menjayakan misi menjadikan Kedah pasukan yang kuat. Pasti tidak cukup dengan saya seorang, perlu kepada pelbagai pihak swasta, separa kerajaan, kerajaan dan segala pihak yang mempunyai hati dan nurani untuk membantu bola sepak Malaysia tampil untuk bantu bola sepak Kedah,”

katanya.

Jelasnya lagi, itu adalah cabaran yang sedang dihadapinya ketika ini dan berkata mungkin tidak terlalu lambat untuknya cuba mendapatkan perhatian pelbagai pihak untuk tampil membantu Sang Kenari tidak kira dari segi suntikan kewangan atau bukan kewangan untuk bina semula pasukan.

Dalam pada itu, Daud Bakar berkata musim ini tidak seperti musim lalu apabila musim 2024/25 akan menyaksikan mereka akan bermain untuk tempoh 15 bulan berbanding 12 bulan sebelum ini.

Oleh itu beliau berharap dapat menarik penaja utama supaya mereka dapat mengharungi musim ini dengan lancar.

“Kita perlukan bajet yang lebih besar untuk 15 bulan, jadi perlu kepada penajaan besar di mana penaja utama selalunya dalam lingkungan RM8-RM10 juta, jadi kalau ada penaja utama, insyaAllah kita boleh jalan sebab kita sudah ada penaja-penaja kecil.”

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai sasaran pasukan Hijau Kuning musim ini, beliau berharap agar pasukan dapat memperbaiki kedudukan pada musim lalu.

“Seperti yang kita war-warkan, kita ingin mencapai satu pencapaian lebih baik dari tahun lepas. Top 3 pun saya benda yang kita akan hargai sebab kita berada dalam keadaan ‘reset’ di mana kita ‘reset’ semuanya dari segi pemain dari segi pentadbiran, kewangan dan sebagainya.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen