Rakyat Malaysia bakal nikmati Euro 2024 secara percuma

1,141

Kehangatan kejohanan terbesar di Eropah iaitu Euro 2024 semakin terasa yang mana ia dijadual akan membuka tirainya bermula 14 Jun hingga 14 Julai depan dengan Jerman bakal kembali menjadi tuan rumah selepas 36 tahun.

Peminat bola sepak di Malaysia juga merupakan antara peminat bola sepak di dunia yang ternanti-nanti kejohanan ini bermula namun ramai yang sedikit bimbang dek siaran langsung perlawanan hanya boleh ditonton di televisyen berbayar.


Berita baik buat peminat bola sepak negara kerana difahamkan terdapat beberapa syarikat gergasi berminat dan bersedia untuk menaja sepenuhnya siaran langsung Euro 2024 bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menontonnya secara percuma.

Menurut satu sumber, satu surat tunjuk minat dikatakan akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi serta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung hasrat tersebut.

“Syarikat swasta telah menunjuuk minat yang ingin mengambil tajaan untuk Euro 2024, supaya RTM boleh beri kepada rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.

“Beberapa syarikat swasta telah mula menujukkan minat dan dalam masa terdekat ini, akan mengeluarkan surat tunjuk minat kepada pihak RTM untuk menaja dan beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah.

“Ia sebenarnya dapat menjimatkan perbelanjaan pihak kerajaan kerana selepas ini difahamkan Sukan Olimpik juga menelan kos yang tinggi bagi mendapatkan hak siaran langsung.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini,” kata sumber.

Hasrat syarikat gergasi itu disuarakan susulan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang sebelum ini berkata beliau bersedia untuk mempertimbangkan untuk dapatkan hak siaran Euro namun perlu merujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran terlebih dahulu kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, sumber tersebut berkata jumlah tajaan daripada syarikat itu cukup besar sekaligus pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos langsung untuk dapatkan hak penyiaran.

“Syarikat gergasi Lembah Klang itu beri jaminan akan menampung kesemua kos dan bayaran hak penyiaran. Pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan langsung duit untuk mendapatkannya.

“Dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain atau mendapatkan hak siaran Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya percaya rakyat pastinya gembira dapat mengisi hari-hari sepanjang bulan Jun hingga Julai ini dengan menonton Euro 2024 secara percuma di saluran RTM.”

Sementara itu, saingan Euro 2024 dijangka akan lebih sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali yang pastinya ingin mempertahankan kejuaraan.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.