Undian Piala AFF, Malaysia dijangka tiada masalah untuk lepasi peringkat kumpulan

205

Sebentar tadi telah berlangsungnya majlis undian untuk kejohanan Piala AFF 2024 yang dijadual akan berlangsung pada 23 November hingga 21 Disember 2024.

Undian yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang perlawanan ‘play-off’ di antara Timor Leste dan Brunei.


Kumpulan B pula dihuni oleh pasukan Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Berdasarkan keputusan undian, skuad Harimau Malaya dijangka tidak akan berdepan masalah besar untuk melepasi peringkat kumpulan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menganggap undian kali ini menarik dan berkata beliau akan cuba membentuk skuad terbaik untuk edisi kali ini.

“Ia undian yang menarik. Kita akan cuba dapatkan pemain-pemain terbaik untuk membentuk sebuah skuad yang mantap untuk kejohanan kali ini,”

ujarnya yang dipetik dari FAM.

Namun persoalan yang menjadi tanda tanya seluruh peminat bola sepak tanah air ketika ini adalalah pemain manakah yang akan dipanggil oleh Pan-gon untuk menggalas tugasan negara ini.

Dilaporkan kejohanan Piala AFF pada edisi kali ini menawarkan wang hadiah yang lebih tinggi berbanding edisi lalu, namun berdasarkan situasi semasa pastinya setiap pasukan tidak akan menghantar skuad utama mereka termasuk Malaysia.

Ini kerana kejohanan ini berlangsung di luar kalendar FIFA jadi pastinya sukar untuk kelab-kelab melepaskan pemain utama mereka untuk menyertai kejohanan ini berikutan saingan Liga Malaysia masih berjalan.

Kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan KL City FC antara pasukan yang dijangka tidak akan melepaskan pemain mereka kerana keempat-empat pasukan ini akan beraksi dalam kejohanan Asia musim ini.

JDT akan beraksi dalam AFC Champions League Elite (ACLE) manakala Selangor pula akan bermain dalam AFC Champions League 2 (ACL 2).

Sementara itu, Terengganu dan KL City pula akan beraksi dalam kejohanan ASEAN Club Championship (ACC).

Bagaimanapun ia tidak bermakna Malaysia tidak akan menghantar skuad terbaik kerana Pan-gon sebelum ini dikatakan mempunyai senarai pemain-pemain berpotensi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Mungkin ini adalah masa yang tepat buat pengendali dari Korea Selatan itu untuk memberi peluang kepada pemain muda dan pemain berpotensi lain.

Sekiranya Pan-gon menampilkan muka-muka baru untuk Piala AFF edisi kali ini, ia secara tidak langsung dapat menambah jumlah ‘player pool’ negara sekaligus memberikan beliau lebih pilihan sekiranya ada pemain utama yang cedera.

Jika Malaysia menghantar skuad berbeza, sasaran utama pastinya untuk cuba menjadi juara kerana kali terakhir negara berjaya menjulang trofi itu 14 tahun lalu iaitu pada tahun 2010.