Kami perlu cari gol pertama dahulu sebelum cuba cari tujuh gol lagi – Paulo Josue

29

Pemain pasukan kebangsaan Malaysian, Paulo Josue mengakui tugas sukar menanti pasukannya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) esok.

Menurut Paulo, beliau sedar bahawa pasukan perlu menang dengan jaringan besar iaitu 8-0 sekiranya mahu layak ke pusingan ketiga dengan ketiadaan ramai tonggak utama serangan tapi berjanji akan bekerja dengan lebih keras.


“Kami bercakap sesama pemain yang mana ia bukan kerja yang mudah buat kami terutamanya apabila kami kehilangan ramai pemain di bahagian serangan tapi kami akan cuba buat yang terbaik untuk ‘padam’ perbezaan jaringan gol itu.

Ya kami tahu ia bukan mudah untuk jaringkan banyak gol. Apa yang penting adalah kami perlu cari gol pertama terlebih dahulu sebelum cuba cari tujuh gol lagi,”

katanya.

Paulo pada masa sama juga berharap pasukan Oman dapat menewaskan Republik Kyrgyz dengan jaringan besar supaya ia dapat memudahkan skuad negara.

Terdahulu skuad Harimau Malaya berjaya mengikat Republik Kyrgyz 1-1 untuk terus menghidupkan peluang skuad negara untuk layak ke peringkat seterusnya.

Ketua jurulatih Kim Pan-gon berdepan masalah selepas kehilangan ramai tonggak utama seperti Syafiq Ahmad, Faisal Halim, Arif Aiman, Darren Lok dan Syihan Hazmi dek kecederaan.

Skuad negara kini dalam misi penting yang mana mereka perlu menang dengan jumlah jaringan besar untuk cuba layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.