Intan Serah tiada masalah untuk bermain di posisi penyerang atau ‘false 9’

20

Pemain bola sepak wanita MBSJ FC, Intan Serah memberitahu beliau sudah bersedia dan tiada masalah untuk bermain di dua posisi iaitu di posisi penyerang dan ‘false 9’.

Intan berkata demikian selepas berjaya membantu pasukannya menjulang kejuaraan FAS Women’s Super League (WSL) apabila berjaya menewaskan UiTM United Lionesee 3-0.


“Saya rasa saya bersedia untuk berada di antara dua posisi itu samada penyerang atau pun ‘false 9’. Saya sudah bersedia untuk hadapi apa sahaja cabaran yang saya akan hadap di masa masa hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tidak hanya berjaya bantu pasukan menjadi juara, Intan yang juga merupakan pemain kebangsaan Malayan Tigress turut merangkul trofi Kasut Emas selepas menjadi penjaring terbanyak liga dengan 19 gol.

Pada masa sama beliau turut dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada saingan liga edisi kali ini.

Dalam pada itu, Intan berkata beliau cukup gembira dapat menjulang kejuaraan kerana baginya ia merupakan satu perjalanan yang cukup sukar dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi pasukan.

“Bila dapat jadi juara kali ini saya rasa sangat gembira sebab sebelum ini cukup bergelut untuk menang jadi ini adalah satu rezeki untuk saya dan pasukan.”

Sementara itu, Intan turut mengakui bergelut untuk cuba menyesuaikan diri bermain sebagai penyerang dalam bola sepak padang kerana beliau sebelum ini merupakan pemain futsal.

“Saya masih cuba nak ‘cope’ dengan ‘positioning’ penyerang sebab sukar untuk saya nak menyesuaikan diri dari futsal ke bola sepak padang.

Bagaimanapun dalam saingan liga ini saya berjaya jaringkan 19 gol jadi Alhamdulillah.”