KBS perkenal semula kaedah penyarluran peruntukan kewangan kepada PSK melalui ’empowerment’

51

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah menghadiri majlis menandatangani memorandum perjanjian bagi penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah ’empowerment’ bagi tahun 2024.

Menurut Hannah, beliau bersama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) sentiasa mencari cara dan Solusi untuk memudahkan pemegang taruh dan PSK merupakan antara pemegang taruh Kementerian yang kadangkala mengalami kekangan dalam pengurusan logistik dan pembangunan sukan atlet.


“Oleh itu, KBS dengan ini memperkenalkan semula kaedah penyaluran peruntukan kewangan kepada PSK melalui kaedah empowerment.

Penyaluran ini adalah untuk kegunaan program Podium dan Pelapis Kebangsaan bagi tahun 2024. Ini akan melibatkan 19 PSK (yang turut hadir untuk penyempurnaan MoU pada hari ini) serta melibatkan 23 jenis disiplin sukan,”

ujarnya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, kaedah penyaluran seperti itu pernah dilakukan sebelum ini oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kepada PSK untuk untuk pelaksanaan program Kita Juara 2017. Pada masa itu, sebanyak 42 jenis sukan yang terlibat sebagai persediaan ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang mana ia kemudian diteruskan sehingga tahun 2019.

“Kini, melalui belanjawan Kerajaan Madani kita laksanakan kembali kaedah empowerment. Pelaksanaan ini tidak lain tidak bukan untuk pastikan setiap program latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta terancang. Antara elemen-elemen bantuan yang disalurkan adalah pengurusan atlet, pengurusan jurulatih, pengurusan pusat, pengurusan prestasi (latihan dan pertandingan), program binaan, dan khidmat sokongan. Kaedah ini adalah berteraskan konsep akauntabiliti dan tanggungjawab oleh PSK.”

Dalam pada itu, Hannah berkata amalan seperti itu juga dilakukan oleh negara-negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, Jepun, dan China yang mana mereka telah membuktikan bahawa persatuan sukan kebangsaan mereka memainkan peranan yang cukup penting dalam pengurusan sukan termasuk pengurusan dana yang diterima sama ada daripada pihak kerajaan mahupun penaja.

Tambahnya lagi, penyaluran akan dibuat empat bulan sekali iaitu pada Januari, April, Mei, Ogos, September dan Disember.

“Antara kelebihan dalam pelaksanaan kaedah ini adalah penyaluran bantuan kewangan berbentuk geran ini akan mengurangkan proses kerja sama ada di peringkat MSN mahupun PSK. Sebagai contoh, peruntukan yang disalurkan akan memudahkan proses tempahan tiket kapal terbang yang lebih menjimatkan berbanding pembelian saat akhir. Proses pendaftaran pasukan ke kejohanan antarabangsa juga dapat dilakukan dengan lebih awal tanpa sebarang denda kelewatan.”

Sementara itu, Hannah berharap dengan kemudahan itu PSK dapat mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan oleh MSN, malah mereka juga perlu berbelanja berdasarkan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK).

Oleh itu beliau berharap usaha ini dapat memberi impak positif dalam pembangunan sukan negara dan pengurusan atlet negara sekaligus dapat melahirkan lebih ramai atlet berprestasi untuk bawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.