Pengalaman beri kelebihan pada pasukan PT Athletic FC – Nazrulerwan Makmor

21

Ketua jurulatih pasukan PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor berkata pengalaman pemain-pemain senior memberi pasukan mereka kelebihan apabila mereka berjaya tewaskan Bukit Tambun FC 3-1 dalam perlawanan pertama Liga A1 baru-baru ini.

“Kita tahu pasukan Bukit Tambun adalah sebuah pasukan yang bagus tapi kita berjaya jaringkan tiga gol. Bagi saya mungkin kerana pemain berpengalaman dalam pasukan, jadi itu kelebihan pasukan kami.

Jadi kita dapat mengatasi tempo permainan yang ditunjukkan oleh Bukit Tambun. Bagi saya ia bukan lagi permainan sebenar kami. Kami jadikan kemenangan pertama ini sebagai ‘moral boost’ kepada semua pemain,”

katanya.

PT Athletic merupakan antara pasukan pilihan untuk saingan liga semi-profesional pada musim ini kerana pasukan itu dibarisi oleh ramai bekas pemain kebangsaan dan Liga Super.


Antara pemain tersebut adalah Amri Yahya, Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon dan ramai lagi.

“Jika kita lihat pemian-pemain senior ini memberikan impak yang cukup bagus buat pasukan kerana mereka boleh mengawal permainan untuk tempoh 90 minit walaupun berumur tapi tempo permainan itu yang penting.

Kita dapat ‘manage’ permainan Bukit Tambun jadi saya rasa apa yang penting mereka beri 100 peratus.”

Dalam pada itu, Nazrulerwan turut berterima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukannya dan mendedikasikan kemenangan itu kepada penyokong.

“Ia satu permulaan yang baik dan kami bagi tiga mata ini kepada penyokong-penyokong yang hadir dan berharap mereka akan terus datang menyokong.”