Kita boleh menang tapi jangan terlalu fikir nak dapat 8 gol, cari gol awal dulu – Akmal Rizal

27

Bekas penyerang prolifik kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyuarakan keyakinan bahawa pasukan kebangsaan Malaysia mampu memperoleh kemenangan dalam aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei pada malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Akmal Rizal yang kini merupakan ketua jurulatih pasukan Penang FC bagaimanapun berkata Harimau Malaya tidak boleh terlalu memikirkan untuk jaringkan lapan gol sebaliknya cari gol awal terlebih dahulu.


“Saya rasa untuk menang insyaAllah pasti kita boleh menang jika kita bermain seperti menentang Republik Kyrgyz tempoh hari dan mungkin kita gandakan lagi dengan sokongan penyokong-penyokong Harimau Malaya yang akan datang, ditambah beraksi di SNBJ.

Jadi saya rasa kita boleh menang cuma mereka tidak boleh terlalu memikirkan nak dapatkan lapan atau sembilan gol, tapi cuba dapatkan gol seawal yang boleh yang kemudian rentak untuk menjaringkan gol itu akan datang dan saya pasti kita boleh menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mahu pemain bermain dengan keadaan tenang dan terkawal serta tidak tergopoh-gapah terutamanya ketika sedang membuat serangan.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kini berada dalam situasi sukar apabila mereka bukan sahaja wajib menang tetapi perlu jaringkan lapan gol untuk memadam kelebihan gol pasukan Republik Kyrgyz, pada masa sama turut berharap Oman akan menang besar.

Jika berjaya, skuad negara akan mencipta sejarah baru layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.