Sukan sepatutnya menyatupadukan tapi ada pasukan turun bermain seperti ‘berperang’ nak menang – Syahir Fadzil

39

Tidak dapat dinafikan sejak kebelakangan ini banyak isu pengadil dikasari berlaku dan ia bukan sahaja berlaku dalam perlawanan profesional tetapi turut merebak ke perlawanan di peringkat akar umbi dan juga liga sosial.

Menurut Syahir Fadzil yang merupakan pengadil yang mengendalikan liga di peringkat akar umbi dan bawah 18 tahun memberitahu pada tahun ini sahaja sudah ada tiga insiden melibatkan pengadil dikasari.


“Untuk tahun ini kita sudah ada tiga insiden yang saya dapat tahu daripada rakan pengadil yang pertama di KL yang mana pengadil ditumbuk selepas melayangkan kad merah; yang kedua insiden di Kuala Pilah dan yang ketiga insiden di MSSD di Jitra, Kedah.

Pengadil yang kena tumbuk di KL ini adalah pengadil kebangsaan jadi keputusan yang beliau buat berdasarkan video adalah tepat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syahir turut berpandangan bahawa insiden-insiden yang berlaku ini bukan daripada pemain liga sosial sendiri sebaliknya bekas pemain profesional yang bermain di liga sosial.

“Kebanyakkan pemain di liga sosial bukannya datang daripada pemain liga sosial sendiri sebaliknya bekas-bekas pemain seperti pemain kebangsaan, pemain kelab, pemain Piala Presiden dan sebagainya dan ini yang menimbulkan masalah sebenar.

Pada pandangan saya apabila mereka ini bermain mereka tidak boleh menerima kekalahan atau tidak boleh menerima yang ada orang lain lebih baik daripada mereka.

Satu lagi pandangan saya adalah sukan sepatutnya menyatupadukan rakan-rakan dan mengeratkan silatulrahim tapi mereka ini datang bersukan dengan ‘mindset’ untuk menang, sukan adalah untuk perang dan wajib menang. Bagi saya ‘mindset’ itu salah.”