Sasaran pingat di Sukan Olimpik akan diumumkan oleh Menteri KBS dalam masa terdekat – Hamidin

98

Ketua kontinjen Malaysia (Chef de Mission) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa sasaran pingat untuk kontinjen negara akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) YB Hannah Yeoh dalam masa terdekat ini.

“Saya rasa sasaran pingat akan diumumkan oleh Menteri KBS nanti dengan butiran lebih lengkap. Saya tidak mahu mendahului beliau, jadi biar beliau umumkan nanti,”

jawabnya ringkas.

Hamidin berkata demikian selepas tamat Majlis Pembentangan Penaja Samsonite untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik sebentar tadi.


Dalam pada itu, Hamidin juga mengulas mengenai jaminan keselamatan kepada atlet dan pegawai Malaysia akan berkampung di Paris susulan ketidakstabilan politik yang sedang melanda di negara itu ketika ini.

“Yang saya yakin kerana atlet dan jurulatih serta pegawai akan berada di dalam perkampungan di mana ia dikawal rapi oleh pihak keselamatan.

Jadi di tempat latihan dan tempat pertandingan ia akan dikawal dengan ketat. Mereka (atlet, jurulatih & pegawai) juga tidak boleh keluar dari perkampungan mereka.

Oleh sebab itu saya cukup yakin dan insyaAllah kita harap perkara tidak diingini akan berlaku.”

Sementara itu, Hamidin juga meminta kesemua atlet-atlet negara supaya lebih berhati-hati dalam menjalani latihan bagi mengelak dari mengalami kecederaan sebelum temasya bermula.

Terdahulu pelumba basikal wanita lebuh raya negara, Aisyah Zubir mendedahkan beliau terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Belgium pada 12 Jun lalu namun yakin mampu pulih sepenuhnya sebelum pertandingan bermula pada 4 Ogos ini.

Sukan Olimpik akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen