Tiada tekanan buat pasukan di AFF 2024 kerana ini adalah pasukan berbeza – Juan Torres Garrido

81

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Juan Torres Garrido memberitahu tiada tekanan buat pasukannya yang akan bersaing di Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 (AFF) pada 17 hingga 29 Julai nanti biarpun akan turun sebagai juara bertahan.

Ini kerana menurut Garrido barisan pemain-pemainnya untuk skuad kali ini berbeza dengan skuad yang menjulang kejuaraan AFF pada tahun 2022.


“Saya rasa jika ia pasukan yang sama memang akan ada tekanan tapi kali ini ia merupakan barisan pemain yang berbeza.

Kita sedar dengan kejayaan pasukan sejak dua edisi lalu tapi untuk kali ini setiap pemain perlu tunjukkan bahawa mereka hebat. Itu sahaja kerana seperti yang saya katakan ia pasukan yang berbeza,”

katanya.

Terdahulu skuad Harimau Muda kendalian Hassan Sazali Waras berjaya menjulang kejuaraan AFF selepas menewaskan Laos 2-0 pada perlawanan akhir untuk mengulangi pencapaian 2018.

Dalam pada itu, untuk edisi tahun ini skuad negara telah diundi dalam Kumpulan C bersama Brunei, Singapura dan Thailand.

Dalam pada itu, Garrido juga tiada masalah dengan kritikan daripada peminat bola sepak tanah air dengan prestasi pasukan kebangsaan kerana mereka sentiasa mahukan pemain memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini kita perlu faham peminat sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada pasukan Malaysia.

Peminat juga sentiasa menyokong jadi ia adalah perkara yang normal apabila kita tidak dapat keputusan yang baik mereka akan mengkritik.

Tapi perkara ini perlu dijadikan sebagai motivasi buat kami untuk terus bekerja keras untuk buat dengan lebih baik lagi.”

Sementara itu, skuad negara yang kini sedang menjalani kem latihan pusat selama seminggu akan terbang ke Surabaya, Indonesia pada 15 Julai ini.