Selagi Mr X tak jadi presiden, satu sen pun tak akan diberi – Khalid Samad

72

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mendedahkan bahawa kelab KL City FC tidak akan mendapat wang tajaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selagi seorang individu yang dikenali sebagai Mr X tidak menjadi presiden.

“Bukan kita tak minta daripada penaja utama kita iaitu DBKL tetapi saya telah mendapat maklumat bahawa duit itu tidak akan diberi selagi mana Mr X ini tak jadi presiden, satu sen pun tidak akan diberi,”

katanya.

Khalid berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi menjawab beberapa isu yang tular baru-baru ini termasuk isu tunggakan gaji tujuh bulan.


Menurutnya, masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh KL City bakal menjadi lebih teruk dan kelab itu berkemungkinan besar akan hilang lagi pemain utama kerana sebelum ini mereka pernah berdepan situasi sama.

“Situasi bungkus mungkin akan berlaku jika kita tidak dapat tangani masalah ini. Saya kesiankan pemain-pemain kerana mereka terpaksa bermain tanpa gaji dan apabila bermain tanpa gaji akan membuatkan mereka tidak bersemangat.

Kita sebelum ini pernah hilang ketua jurulatih Bojan Hodak, Kevin Mendoza, Romel Morales dan Akram Mahinan.

Kalau Paulo Josue sudah mengeluh apatah lagi pemain lain yang masih bersabar.”

Dalam pada itu, Khalid turut meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila kejayaan yang dikecapi oleh skuad The City Boys seperti tidak dihargai.

“Pencapaian KL City ini tiga tahun berturut-turut masuk final tapi malangnya kejayaan ini seolah-olah tidak dihargai dan sokongan serta sumbangan kita terima kekal dengan RM5 juta tapi itu pun dengan saya terpaksa meminta dengan Menteri Wilayah yang asalnya Tan Sri Annuar Musa selepas itu Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan ura-ura yang nak saya letak jawatan baru dapat duit baru kedengaran.”

Sementara itu, Khalid turut memberitahu pihaknya sudah mendapat amaran daripada pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) yang menggesa pihaknya untuk selesaikan masalah tunggakan gaji atau lesen mereka akan ditarik.