Bola sepak bukan tempat politik kerana bola sepak sepatutnya menyatupadukan semua rakyat – Khalid Samad

22

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad menegaskan bahawa bola sepak tidak sepatutnya menjadi arena untuk berpolitik kerana ia adalah sukan yang menyatupadukan semua rakyat.

“Saya ni orang politik tapi saya tahu mana arenanya, bukan dalam bola sepak kerana bola sepak sepatutnya menyatupadukan semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India serta tidak kisah orang dari parti politik mana-mana sekalipun.

Sepatutnya semua parti politik bersatulah untuk bantu pasukan KL City,”

katanya.

Khalid berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi menjawab beberapa isu yang tular membabitkan pasukan The City Boys itu termasuk masalah tunggakan gaji tujuh bulan.


Menurut Khalid, beliau berasa simpati dengan nasib yang menimpa pemain-pemain KL City yang tetap bermain mati-matian di atas padang biarpun tidak mendapat gaji.

“Saya kesian dengan pemain-pemain dalam keadaan tidak dapat gaji tetap turun padang bermain mati-matian.

Musim ini adalah permulaan musim terbaik KL City tapi mereka ini (merujuk kepada pihak tak membayar gaji) seperti tiada hati perut apabila mengaggap pemain tidak dapat gaji seperti perkara biasa.”

Beliau turut berkata skuad KL City berada pada prestasi terbaik mereka sepanjang 32 tahun apabila berjaya mara ke tiga perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Khalid juga berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya menganggap pasukan KL City seperti pasukan mereka.

“DBKL sepatutnya anggap KL City seperti pasukan mereka. Kalau dia (DBKL) nak minta dirinya sebagai Exco atau dia nak jadi Presiden beritahu saja tapi jangan hukum orang seperti ini.”

Sementara itu, beliau berharap masalah tunggakan gaji KL City dapat diselesaikan dengan segera kerana sekiranya masalah dibiarkan berlanjutan bimbang pasukan tidak akan mempunyai pemain lagi nanti.