Kita beri ruang dan peluang kepada Matyo merencanakan sendiri Akal Neraca FC – Akmal Nasir

139

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YB Akmal Nasir yang juga merupakan pencetus dan pendukung utama Akal Neraca FC memberitahu mereka menjalin kerjasama dengan bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha untuk pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Menurut Akmal, Norshahrul atau lebih mesra dengan panggilan Matyo akan menjalankan tanggungjawab sebagai Pengarah Sukan (Sporting Director) di mana beliau akan diberi ruang dan peluang untuk membuat perancangan sendiri untuk akademi.


“Asas kelab ini berteraskan kepada penyertaan anak-anak muda terutamanya mereka yang betul-betul ingin belajar bermain bola sepak, maka sebab itu apabila kami berbincang termasuk dengan saudara Matyo untuk memberi beliau peluang merencanakan sendiri bagaimana akademi bola sepak itu boleh dihidupkan.

Beliau ada pengalaman bukan hanya sekadar bermain secara profesional mewakili negara, beliau juga sempat menimba pengalaman sebagai jurulatih untuk pasukan B-23, jadi sudah pasti pengalaman itu akan mengajar beliau. Tapi di sini kita bagi ‘blank sheet’ untuk beliau bantu rencanakan,”

katanya.

Tambahnya lagi, Akal Neraca bukan melantik Matyo untuk menarik jumlah penyertaan tetapi mahu beliau turut sama dalam melahirkan bakat-bakat baru.

Dalam pada itu, Matyo mengakui tidak mudah bagi dirinya membuat keputusan untuk terima tawaran daripada Akal Neraca tetapi beliau menerima bagi menyahut cabaran baru buat dirinya.

“Bagi saya ini satu cabaran baru kerana semua sedia maklum bekas pemain bola sepak dan jurulatih adalah dua tugas yang cukup berbeza tapi bagi saya ini adalah amanat untuk kelab bagi menaikkan semula mutu bola sepak khususnya di peringkat akar umbi.”

Menurut Matyo, selain pernah menjadi jurulatih untuk pasukan B-23 KL City Extension beliau juga pernah mengendalikan sebuah kelab pembangunan akar umbi di Puchong, Selangor.

“Saya sudah biasa mengendalikan pemain berusia bawah lapan tahun dan 10 tahun selama 10 bulan dan berjaya timba banyak pengalaman dan pengalaman ini akan digunakan untuk mengendalikan Akal Neraca.”

Akal Neraca akan mempunyai padang latihan mereka sendiri yang akan berpengkalan di Lembah Klang iaitu di Kajang, Selangor.